X

Kindly register in order to view this article
!

Satu maut, empat cedera dalam kemalangan bas elak anjing melintas

Seorang wanita maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta dan sebuah bas di Jalan Bukit Batu-Bukit Kelicap, Batu Pahat pada Ahad.
A
A

BATU PAHAT - Seorang wanita maut manakala empat lagi cedera apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta dan sebuah bas di Jalan Bukit Batu-Bukit Kelicap, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan pada jam 11.40 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Viva, sebuah Proton Saga dan sebuah bas.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima maklumat dari Balai Polis Senggarang berkenaan kemalangan itu. Hasil siasatan awal mendapati pemandu bas bersama tujuh penumpang dalam perjalanan dari Benut ke Batu Pahat cuba mengelak seekor anjing yang melintas dari kiri ke kanan.

"Keadaan itu menyebabkan bas memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan Proton Saga dari arah hadapan lalu menyebabkan kereta tersebut terbabas ke kiri jalan.

"Pada masa sama datang Perodua Viva yang juga dari arah bertentangan terlanggar secara berhadapan dengan bas berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Katanya, akibat kemalangan tersebut, penumpang belakang Proton Saga, Nurul Izzah Abdul Jamil, 21, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandunya, Muhammad Shamril Rafiz Abdul Rahman, 23, mendapat kecederaan di bahagian muka dan tangan.

"Turut cedera seorang wanita iaitu pemandu Perodua Viva dan dua anaknya yang berusia dua dan tiga tahun. Semua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Penguasa Bomba Kanan II Omar Yusof berkata, 17 anggota disertai dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu utiliti Kembara dibantu BBP Rengit dihantar ke tempat kejadian.

Menurutnya, tiga beranak yang cedera dalam Perodua Viva, Siti Aminah Md Nor, Md Aisy Yusoff Teh Kamarudin dan Md Qareesh Rayyan Teh Kamarudin dihantar ke HSNI oleh orang awam sebelum bomba sampai lokasi.

Katanya, Nurul Izzah yang dikeluarkan pihak bomba disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

Katanya, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat pada jam 12.30 tengah hari.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!