Lelaki Filipina maut ditetak dua beradik di Lahad Datu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LAHAD DATU - Seorang lelaki warga Filipina maut dipercayai akibat ditetak dua beradik yang juga rakan senegaranya dalam kejadian di depan rumah pekerja ladang kelapa sawit di Ulu Segama dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, dalam kejadian jam 6.55 pagi itu, mangsa yang berumur 29 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di ladang tersebut maut di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada seluruh badan.

"Siasatan awal mendapati mangsa menemui kedua-dua lelaki berkenaan untuk menyelesaikan masalah terpendam iaitu mangsa berang dengan tindakan suspek mempersendakannya.

"Berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek yang kemudian berakhir dengan pergaduhan fizikal sebelum mangsa maut akibat ditetak dengan parang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Susulan itu, beliau berkata, polis menahan lima individu termasuk seorang wanita berusia 18 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, polis sedang memburu dua beradik itu yang dikenali sebagai Darwin, 35 dan Darin, 25.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asistan Superintenden Khairuddin Husain menerusi talian 013-9071709 atau tampil di balai polis berhampiran," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: