X

Kindly register in order to view this article
!

Kesal berlaku pengasingan antara kaum

Mazlan - Foto FB Mazlan Bujang
A
A

JOHOR BAHRU- Kerajaan negeri kesal dengan tindakan sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, di sini yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar Tingkatan Satu dan menyifatkan ia tidak seharusnya berlaku.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, pihaknya sedang mendapatkan laporan daripada Jabatan Pendidikan Johor berkaitan insiden itu.

“Kita tengah menilai laporan yang diterima dan buat masa ini, Jawatankuasa Disiplin belum bersidang.

“Namun, kita sedia maklum tentang perkara itu dan ia dalam tindakan. Namun, saya ingin tegaskan perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.

“Kesilapan boleh berlaku di mana-mana, kadang-kadang kita tidak terfikir ia boleh berlaku. Jadi, kita akan teliti dan dengar penjelasan daripada pihak yang terlibat terlebih dahulu sebelum apa-apa keputusan dibuat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, tular di media sosial satu surat yang dikeluarkan sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, Johor yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar Tingkatan Satu.

Berdasarkan kandungan surat itu, seorang pelajar hanya dibenarkan memilih satu jenis sukan sahaja daripada 12 jenis sukan yang ditawarkan namun beberapa sukan hanya ditawarkan buat kaum tertentu, seperti sukan bola sepak untuk pelajar lelaki Melayu sahaja, bola keranjang untuk pelajar lelaki dan perempuan Cina, manakala sepak takraw untuk pelajar lelaki Melayu sahaja.

Sementara itu, Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam reaksi awalnya berkata, tindakan segera dan sewajarnya telah diambil oleh kementerian.

“Berbalik kepada panduan yang dikeluarkan oleh sekolah terlibat, tindakan ini adalah bertentangan dengan matlamat dan asas pelaksanaan program sukan di sekolah.

“Tindakan segera dan sewajarnya telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!