Harga barangan basah meningkat: 225 peniaga dikenakan notis

Pemantauan dari masa ke masa dilakukan oleh Adnan Abd Rahman (kanan) dan pegawainya bagi memastikan tidak ada peniaga yang melanggar undang-undang dengan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara melampau. -Foto: KPDNHEP Kelantan
Pemantauan dari masa ke masa dilakukan oleh Adnan Abd Rahman (kanan) dan pegawainya bagi memastikan tidak ada peniaga yang melanggar undang-undang dengan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara melampau. -Foto: KPDNHEP Kelantan
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengeluarkan 225 notis termasuk 48 kepada peruncit dan pemborong ayam yang mengambil kesempatan menaikkan harga bahan makanan basah itu secara melampau bermula operasi pada Khamis hingga Ahad.

Pengarah (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, 19 lagi notis kepada peniaga daging dan 34 notis kepada peniaga sayur-sayuran manakala selebihnya lain-lain peniaga.

Menurutnya, pemeriksaan menerusi Ops Pasar dan Ops Catut 8.0 dijalankan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999 bagi menangani isu kenaikan harga barangan.

“Tindakan diambil terhadap peniaga yang tidak beretika dan dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tanpa mematuhi perundangan tersebut.

“Sebanyak 48 notis mengikut Seksyen 21 AKHAP 2011 dikeluarkan ke atas peniaga ayam di Kelantan atas pelbagai kesalahan termasuk kenaikan harga melampau selain 19 notis kepada peniaga daging dan 34 notis kepada peniaga sayur-sayuran,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Ahad.

Adnan berkata, kesemua peniaga ini akan disiasat dan sekiranya terbukti berlaku pencatutan maka tindakan tegas akan diambil mengikut perundangan.

“Menerusi Ops Catut 8.0 yang berkuatkuasa Khamis lalu sehingga Sabtu, pemantauan juga dilakukan ke atas pengeluar, penternak, pengilang dan pemborong ayam di negeri ini.

“Terdapat juga notis membabitkan barangan bahan binaan, air kosong, pembekalan ayam dan pembekalan daging oleh pegawai penguatkuasa KPDNHEP Kelantan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, KPDNHEP mengambil serius isu kenaikan harga ayam berikutan aduan orang ramai khususnya ketika Ramadan ini dan penguatkuasaan dipertingkatkan bagi memantau bekalan dan harga ayam serta barang keperluan lain di pasaran supaya pengguna dapat memperolehnya pada harga yang berpatutan sehingga Aidilfitri.

“Sempena Ramadan dan Aidilfitri ini, KPDNHEP melaksanakan Ops Pantau di seluruh negara bermula pada 13 April lalu di lokasi tumpuan termasuk bazar Ramadan, Aidilfitri, pasar awam, pasar raya dan kedai runcit.

“KPDNHEP Kelantan setakat ini belum menerima aduan secara rasmi berkaitan kenaikan harga barangan semenjak awal April 2021 manakala tiga aduan melibatkan kesalahan tidak ada tanda harga direkodkan dan diambil tindakan oleh penguatkuasa KPDNHEP Kelantan,” katanya.

Ujarnya, aduan pengguna boleh dibuat secara rasmi ke Bilik Gerakan KPDNHEP Kelantan di talian 09-7416000.

“Waktu operasi bermula jam 8 pagi hingga 5 petang atau boleh salurkan ke Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my.

“Selain boleh menghubungi Call Centre 1800 886 800 atau email e-aduan@kpdnhep.gov.my atau pun hadir ke mana-mana lima pejabat KPDNHEP di seluruh negeri Kelantan,” katanya.

Sinar Harian menerusi laporan khas minggu lalu mendedahkan harga ayam yang meningkat secara mendadak bermula sekitar RM5.50 sekilogram (kg) sebelum Ramadan sehingga RM9.60 menjelang dan pada Ramadan.

Harga ayam paling tinggi direkodkan di Terengganu RM9.60 untuk sekilogram (kg), sedangkan julat harga ayam untuk per kg sepatutnya bawah RM6.