Isu lalat: Tindakan tegas jika pengusaha ladang ayam ingkar SOP

Lokasi pemprosesan baja urea di Padang Lembu, Gurun dikatakan punca kepada pembiakan lalat sehingga tidak terkawal.
Lokasi pemprosesan baja urea di Padang Lembu, Gurun dikatakan punca kepada pembiakan lalat sehingga tidak terkawal.
A
A
A

GURUN - Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pengusaha ladang ayam yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk menjadi punca kehadiran lalat secara tidak terkawal sehingga mengganggu kegiatan harian penduduk.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Peladangan dan Komoditi Kedah, Azman Nasrudin berkata, tindakan tegas termasuklah tidak memperbaharui lesen boleh dikenakan jika pengusaha ladang didapati gagal mengatasi masalah yang dibangkitkan penduduk setempat.

Menurutnya, industri penternakan amat penting dalam menyumbang keperluan makanan negara, namun dalam masa sama ia tidak seharusnya memberi kesan sampingan kepada masyarakat.

"Kita mahu industri ini berjalan dengan baik serta tidak memberi kesan atau masalah kepada masyarakat tetapi pada masa sama memberi keuntungan kepada negara.

"Bagaimanapun, masalah yang dikemukakan seperti kehadiran lalat dari ladang ayam juga telah diambil maklum kerana difahamkan menjadi gangguan penduduk ketika makan, tidur dan belajar," katanya ketika meninjau ladang ayam di sini pada Ahad.

Hadir sama Exco Alam Sekitar, Perumahan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Robert Ling Kui Ee.

Menurut Azman, terdapat pengusaha yang telah dikenakan kompaun sebelum ini berikutan aduan penduduk mengenai kehadiran lalat yang terlalu banyak di kawasan perumahan.

Azman memantau lokasi pemprosesan baja urea di kawasan Padang Lembu, Gurun yang dikatakan punca kepada pembiakan lalat.
Azman memantau lokasi pemprosesan baja urea di kawasan Padang Lembu, Gurun yang dikatakan punca kepada pembiakan lalat.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemantauan, terdapat lalat di kawasan ini dan semakan juga mendapati kita telah keluarkan kompaun pada 2018 akibat masalah sama, selepas ini amaran dan tindakan tegas akan dikenakan jika masih gagal menguruskan isu ini," katanya.

Difahamkan, terdapat tujuh buah ladang ayam beroperasi di sekitar Padang Lembu yang dikatakan menjadi punca kepada kehadiran jumlah lalat yang banyak.

Menurut beliau, najis ayam yang dikumpul dan dihantar bagi proses menghasilkan baja kompos juga dipercayai menjadi punca kepada pembiakan lalat secara tidak terkawal.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah, Dr Shaharul Akmar Talib berkata, tindakan boleh dikenakan mengikut Enakmen Perladangan Unggas Negeri Kedah 2005 sekiranya didapati terdapat penternak yang gagal mematuhi arahan.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 298 pengusaha ladang ayam telah dilesenkan di negeri Kedah.

"Pada tahun 2020, sebanyak 17 ladang unggas telah dikompaun kerana didapati gagal mematuhi peraturan.

"Pemantauan akan dilakukan dari masa ke masa bukan sahaja bagi memastikan kesemua pengeluar makanan ini dapat menyumbang kepada sumber makanan negara malah mematuhi segala SOP dan peraturan ditetapkan kerajaan," katanya.