Tidak mengaku salah bakar isteri guna petrol

Tertuduh (kiri) dikawal ketat anggota polis keluar dari bilik Mahkamah Sesyen Kota Bharu menuju ke lokap pada Ahad.
Tertuduh (kiri) dikawal ketat anggota polis keluar dari bilik Mahkamah Sesyen Kota Bharu menuju ke lokap pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penangkap belut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas tuduhan membakar isteri menggunakan minyak petrol sehingga menyebabkan mangsa cedera parah.

Tertuduh, Irwan Che Abdullah, 43, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Rohfadla Daud, 37, dengan membakar menggunakan cecair petrol yang boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di belakang Balai Islam Lundang, Kampung Lundang di sini, jam 10 pagi pada 2 Mac 2014.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan.

Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula diperuntukkan terhadap sesiapa yang mencederakan pasangan, bekas pasangan, kanak-kanak, orang dewasa tidak berkeupayaan dan anggota keluarga lain iaitu hukuman bagi tempoh yang boleh dilanjutkan dua kali daripada jangka masa maksimum.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Faizuan Sulaiman, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Hajar Sahirah Zukefli.

Artikel Berkaitan:

Faizuan tidak mencadangkan jaminan kerana pertuduhan membabitkan kesalahan yang serius selain mengelak gangguan secara terus berikutan tertuduh dan mangsa masih pasangan suami isteri serta tinggal bersama.

Hajar Sahirah bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya itu diikat jamin dengan alasan tertuduh perlu menyara mangsa dan lima anak mereka yang berusia tiga hingga 16 tahun.

“Laporan polis dibuat oleh adik ipar mangsa yang hadir bersama-sama mangsa di mahkamah pada hari ini,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap awal bulan dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta saksi-saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Mei depan.