Pukul 'bodyguard' puasa: Mohon maaf sahaja tidak cukup

Dua pengawal peribadi dilapor dipukul dengan sebatang rotan dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang didakwa tidak suka kedua-duanya menunaikan puasa dalam kejadian pada Selasa. Gambar kecil: Muhammad Zahid
Dua pengawal peribadi dilapor dipukul dengan sebatang rotan dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang didakwa tidak suka kedua-duanya menunaikan puasa dalam kejadian pada Selasa. Gambar kecil: Muhammad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan majikan membuat permohonan maaf selepas didakwa memukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa pada bulan Ramadan ditempelak Ahli Dewan Negara, Senator Muhammad Zahid Md Arip.

Muhammad Zahid berkata, perbuatan majikan berkenaan sudah menjadi kes jenayah.

Menurutnya, permohonan maaf dikemukakan tidak dapat menutup kes jenayah kekerasan yang berlaku, malah pesalah tidak boleh dibebaskan begitu sahaja.

“Perlu apa minta maaf kepada umat Islam dan Yang di-Pertuan Agong?

"Apakah dengan pernyataan maaf ini maka kes jenayah kekerasan yang dilakukan akan ditutup dan suspek berkenaan akan bebas dan lepas begitu sahaja?” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, media melaporkan majikan lelaki berusia 43 tahun itu memohon maaf ketika dibawa dua anggota polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

“Sekiranya apa yang saya katakan kepada pengawal peribadi saya menyinggung perasaan sesiapa, saya rasa saya harus minta maaf kepada semua umat Islam di negara ini, kepada Yang di-Pertuan Agong dan dua bekas pengawal peribadi saya.

“Bagaimanapun saya tidak bermaksud menghina sesiapa dengan apa yang saya katakan,” kata lelaki terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhammad Zahid turut mempersoalkan tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang seolah-olah memberi layanan istimewa dengan membenarkan majikan itu mengadakan sidang media.

Katanya, Abdul Hamid tidak boleh membisu kerana ketika reman masih belum selesai dan siasatan sedang berjalan, dua anggota polis ditugaskan khas untuk mengiringi suspek boleh bertemu pihak media.

"Sedangkan apa yang sepatutnya dibuat adalah melengkapkan laporan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tujuan pendakwaan.

“Justeru, saya menuntut Abdul Hamid sendiri tampil memberi penjelasan dalam isu ini bagi membuktikan kesungguhan beliau dalam memerangi sebarang salah laku dalam pasukan polis,” katanya.

Lelaki berkenaan merupakan salah seorang daripada empat individu yang direman polis bagi membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua 'bodyguard' dirotan, diacu pistol kerana berpuasa

Pukul pekerja berpuasa: Polis dalam proses sita harta suspek