X

Kindly register in order to view this article
!

Kokurikulum ikut kaum: i-Guru kesal tindakan pihak sekolah

Mohd Azizee Hasan
A
A

SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) kesal dengan tindakan sebuah sekolah di Johor yang didakwa menetapkan syarat penyertaan pelajar Tingkatan Satu dalam sesetengah aktiviti kokurikulum serta sukan mengikut kaum.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, perkara seperti itu tidak wajar berlaku setelah lebih 60 tahun negara merdeka.

"Sedangkan Penyata Razak menyebut tujuan akhir pelajaran ialah menyatupadukan semua kaum melalui satu sistem pendidikan.

"Malahan tindakan itu ternyata bertentangan dengan Dasar dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta bertentangan dengan satu aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu memupuk perpaduan di kalangan pelajar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, aktiviti sukan merupakan salah satu aktiviti kokurikulum yang bertujuan mewujudkan perpaduan kaum dan integrasi nasional.

"Justeru, kami menggesa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah sewajarnya bagi menghentikan tindakan yang menjurus kepada polarisasi kaum.

"Sukan sewajarnya menjadi alat perpaduan bangsa dan elemen integrasi nasional," katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna Twitter mempersoalkan tindakan sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, Johor dan memuat naik gambar sekeping surat yang mengandungi senarai kelab dan persatuan serta sukan yang didakwa terbuka untuk satu kaum sahaja.

Senarai itu antara lain menyatakan kelab Bahasa Cina hanya terbuka untuk pelajar kaum Cina, bola sepak (Melayu), bola keranjang (Cina), ping pong (Cina), bola jaring (Melayu) dan sepak takraw (Melayu).

ARTIKEL BERKAITAN: KPM ambil tindakan sekolah tetapkan kokurikulum ikut kaum

KBS bidas tindakan sekolah tetapkan sukan mengikut kaum


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!