X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: MB Kelantan ajak rakyat solat hajat

Ahmad Yakob
A
A

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyeru seluruh rakyat negeri ini untuk mengadakan solat hajat di masjid dan kediaman masing-masing bagi memohon pertolongan daripada ALLAH SWT dalam usaha membendung pandemik Covid-19 ketika ini.

Ahmad berkata, kerajaan sentiasa memantau rapi perkembangan semasa Covid-19 yang semakin meningkat sehinggakan tujuh daerah di negeri ini terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain solat hajat, turut digalakkan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran dan bersedekah.

"Mudah-mudahan dengan amalan taqarrub tersebut di bulan Ramadan pandemik itu dapat dibendung," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyeru seluruh rakyat untuk memainkan peranan dan tanggungjawab memutuskan rantaian pandemik itu.

"Tugas itu mampu dilakukan dengan mengikuti garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Ahmad berkata, kebolehjangkitan di Kelantan pada Ahad adalah yang tertinggi di Malaysia iaitu pada kadar 1.32 berbanding kebangsaan 1.19.

Beliau berkata, lebih membimbangkan lagi penggunaan katil dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) semakin meningkat.

"Sebanyak 23 peratus kes dikesan tidak melibatkan kontak rapat yang mana menunjukkan jangkitan dalam komuniti sangat tinggi.

"Langkah penutupan sekolah-sekolah dalam kawasan PKP terpaksa dilaksanakan berikutan 30 peratus jangkitan adalah daripada warga sekolah," katanya.

Katanya, sehubungan dengan itu, beberapa langkah akan diambil bagi mengatasi penularan di tempat kerja, masjid dan komuniti.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!