Polis tahan empat pelakon video kedua iklan judi online

Video kedua iklan judi dalam talian tular di laman sosial.
Video kedua iklan judi dalam talian tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sudah menahan empat pelakon dalam video kedua iklan raya mempromosikan judi dalam talian yang tular hingga menimbulkan kegusaran awam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan semua pelakon dalam video itu ditahan di Ampang pada Sabtu.

"Kesemua mereka ditahan reman bermula hari ini (Ahad) sehingga esok bagi membantu siasatan," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, media melaporkan polis sudah mengenal pasti seorang lelaki dipercayai menjadi dalang utama pembikinan dua video iklan lagu raya yang mempromosi kegiatan perjudian.

Mohamad Zainal berkata, lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Loh Kee Hoe beralamat terakhir di Kuala Lumpur.

"Suspek kini dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam sebaran video mempromosikan perjudian dalam talian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Zairil Hazly Zulkifli di talian 017-4589997," katanya.

Mengulas berhubung tangkapan terhadap lapan individu pada Jumaat, Mohamad Zainal berkata, dua daripadanya direman sehingga Rabu ini, manakala enam individu yang juga pelakon video klip berkenaan dibebaskan.

Artikel Berkaitan:

"Individu yang direman adalah pengarah produksi dan jurukamera syarikat produksi terbabit.

"Permohonan reman bagi semua pelakon berkenaan ditolak majistret atas sebab individu berkenaan hanya berlakon dan memberi kerjasama yang baik ketika siasatan dijalankan," katanya.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan video pertama dan kedua yang tular dilakukan oleh syarikat produksi sama.

"Siasatan awal mendapati ia dilakukan syarikat produksi yang sama, namun pelakon berbeza.

"Tetapi pelakon dalam video yang pertama mengenali pelakon dalam video kedua," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PDRM siasat penerbit, pelakon iklan raya promosi judi online

'Sindiket judi online cuba hidup kembali'

[DIKEMAS KINI] Lagi iklan raya promosi judi disiasat