KBS peruntuk RM60 juta untuk Terengganu

Syed Saddiq bersama 2,500 pelajar sekitar Kuala Terengganu serta wakil persatuan dan penggerak belia negeri.
Syed Saddiq bersama 2,500 pelajar sekitar Kuala Terengganu serta wakil persatuan dan penggerak belia negeri.
A
A
A

KUALA NERUS - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi pembangunan infrastruktur sukan dan juga belia di Terengganu pada tahun ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, peruntukan tersebut termasuk memulakan pembinaan tiga projek yang dicadangkan kerajaan sebelum ini.

Tiga projek berkenaan adalah velodrom di Dungun dan masing-masing sebuah Kompleks Sukan Mini di Jabi, Besut dan Telemong di Hulu Terengganu.

"Selain sukan berbasikal, KBS dengan kerjasama kerajaan negeri akan memberi tumpuan untuk pembangunan sukan air di sekitar Pulau Duyong dan kawasan pantai di Terengganu.

"Pembangunan infra sukan ini secara tidak langsung akan merangsang sektor pelancongan di negeri ini," katanya kepada pemberita di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Syed Saddiq hadir ke sesi 'town hall' bersama 2,500 pelajar sekitar Kuala Terengganu serta wakil persatuan dan penggerak belia Terengganu di universiti berkenaan.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UniSZA, Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri bagi kerjasama pembangunan atlet Terengganu.

Syed Saddiq berkata, MoU itu sangat penting kerana ia berkait rapat dengan kebajikan atlet selaras hasrat kerajaan pusat dan negeri untuk memastikan langkah proaktif dalam menempatkan atlet muda ke universiti.

Artikel Berkaitan: