12 lagi kapal ditahan bersauh tanpa kebenaran

Kapal penumpang yang berdaftar dari Bahamas yang ditahan dalam Op Jangkar Haram pada Sabtu. - Foto ihsan Maritim Johor
Kapal penumpang yang berdaftar dari Bahamas yang ditahan dalam Op Jangkar Haram pada Sabtu. - Foto ihsan Maritim Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor menahan 12 lagi kapal yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur dalam tempoh 8 hingga 17 April lalu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dalam kejadian terbaharu pada Sabtu, pihaknya menahan sebuah kapal penumpang di kedudukan 14.5 batu nautika Timur Laut Tanjung Siang kira-kira jam 12 tengah hari dalam Op Jangkar Haram.

Menurutnya, kapal penumpang yang berdaftar dari Bahamas itu ditahan oleh sebuah kapal ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam operasi.

“Kapal penumpang itu dikendalikan oleh 63 kru berusia antara 23 hingga 65 tahun dan terdiri daripada warga Malaysia, China, Crotia, Indonesia, Nepal, Filipina, Finlad, Singapura, Sweden dan United Kingdom.

“Master dan seorang kru kapal tersebut telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk disiasat di bawah Seksyen 491(B)(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

“Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Nurul Hizam berkata, sepanjang minggu lepas Maritim Johor telah menahan 11 kapal dagang atas kesalahan yang sama iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

Katanya, ini menjadikan keseluruhan sebanyak 34 kapal dagang telah ditahan dalam Op Jangkar Haram yang dilancarkan sejak 24 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Kapal yang ditahan pada 8 April lalu di perairan Johor Timur. - Foto ihsan Maritim Johor
Kapal yang ditahan pada 8 April lalu di perairan Johor Timur. - Foto ihsan Maritim Johor

“Jumlah keseluruhan tangkapan di bawah kesalahan yang sama bermula Januari lalu sehingga kini adalah sebanyak 52 buah kapal dari pelbagai jenis dan berdaftar dari pelbagai negara termasuk Malaysia.

“Maritim Johor menegaskan, semua jenis kapal yang ingin bersauh dalam perairan Malaysia perlu memohon dan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu atau segera keluar dari perairan Malaysia jika enggan berbuat demikian.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas mengikut lunas undang-undang negara demi kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan di perairan negara khususnya perairan Johor,” katanya.