RM10,000 ganjaran tangkap suspek belasah dalam lif MRT

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pejabat Ahli Parlimen Kepong menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menangkap suspek yang menyerang dan menyamun wanita dalam lif di stesen MRT Taman Mutiara, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam satu kenyataan berkata, beliau membuat tawaran itu kerana mahu penjenayah berkenaan ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

"Paling saya takut, jika dia tak ditangkap dalam masa terdekat, ia mungkin akan mempengaruhi penjahat lain supaya melakukan jenayah dengan cara yang sama, iaitu dalam lif atau mana-mana tempat yang terlindung.

"Mereka mungkin akan turut menyasarkan golongan lelaki pula atau bergerak secara dalam kumpulan," katanya lagi.

Tambahnya, berita itu juga boleh menjejaskan kedatangan pelancong asing ke negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita trauma dibelasah disamun

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diedarkan polis pada Sabtu, seorang wanita dilihat menjadi mangsa disamun dalam lif di stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, 14 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 pagi ketika wanita berusia 48 tahun itu berada di dalam lif berkenaan bersama suspek.

Mangsa mengalami kecederaan dan wang tunai serta kad ATMnya turut disamun.

Artikel Berkaitan:

Lip Eng meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya datang ke pejabatnya di Kepong atau menghantar e-mel ke parlimenkepong@gmail.com

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok meminta pengurusan rangkaian perkhidmatan awam meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelak insiden sama berulang.

"Pemantauan CCTV perlu lebih proaktif sewaktu berdepan situasi jenayah seperti itu selain pengurusan perlu meletakkan lebih banyak pengawal keselamatan di lokasi berisiko.

"Saya nasihatkan juga wanita supaya lebih berhati-hati dan elakkan menggunakan lif jika bersendirian," katanya.