Bomba selamatkan pasangan warga emas terperangkap banjir

Pasangan suami isteri warga emas yang terperangkap akibat banjir kilat yang melanda Kampung Laut Batu 9 1/2 Skudai, dekat sini pada petang Sabtu berjaya diselamatkan pihak bomba.
Pasangan suami isteri warga emas yang terperangkap akibat banjir kilat yang melanda Kampung Laut Batu 9 1/2 Skudai, dekat sini pada petang Sabtu berjaya diselamatkan pihak bomba.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasangan suami isteri warga emas yang terperangkap akibat banjir kilat yang melanda Kampung Laut Batu 9 1/2 Skudai, dekat sini pada petang Sabtu berjaya diselamatkan pihak bomba.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Mohd Riduan Akhyar berkata, warga emas masing-masing berumur 80 dan 70 tahun itu diselamatkan dari rumah mereka yang digenangi air, ekoran hujan berterusan sejak tengah hari pada Sabtu.

"Sejurus menerima panggilan jam 4.36 petang, usaha mencari dan menyelamatkan kedua-dua mangsa dilakukan BBP Skudai dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kempas dengan kekuatan 14 anggota.

"Pihak bomba bertindak memindahkan kedua-dua mangsa menggunakan bot aluminium ke kawasan selamat dan mereka kemudiannya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Melayu Batu 10," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata operasi menyelamat selama tiga jam itu berakhir pada jam 7.54 malam.

Sementara itu, di Taman Nusa Sentral Nusajaya, tiga lelaki berdepan detik cemas apabila Proton Exora dan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terperangkap dalam banjir kilat pada jam 2 petang Sabtu.

Komander Operasi Pegawai Bmba Kanan II BBP, Iskandar Puteri Mohd Anuar Mohd Amdzah berkata, seramai lapan anggota berserta sebuah jentera FRT digerakan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.46 petang.

"Ketiga-tiga lelaki yang terperangkap itu berjaya dibawa keluar dari kenderaan mereka dan operasi menyelamat ditamatkan pada jam 3.31 petang," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: