X

Kindly register in order to view this article
!

Kes pengasingan pelajar rencatkan penyatuan bangsa Malaysia

Pengasingan pelajar dalam aktiviti kokurikulum hanya merencatkan usaha penyatuan rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum. Gambar kecil: Dari kiri, Teo Kok Seong dan Abdul Rahman
A
A

SHAH ALAM - Kes pengasingan pelajar mengikut kaum dalam aktiviti kokurikulum dan sukan di sebuah sekolah di Batu Pahat, Johor berpotensi merencatkan usaha penyatuan rakyat Malaysia.

Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, kejadian tersebut merupakan detik-detik perpecahan yang tidak seharusnya berlaku khususnya dalam sektor pendidikan negara.

“Kita harus konsisten dalam isu perpaduan ini. Kalau boleh kita sentiasa konsisten untuk mencari cara bagaimana mahu ciptakan detik-detik perpaduan melalui aktiviti sukan dan kokurikulum.

“Tetapi kalau detik-detik perpecahan ini yang banyak, maka kita berada pada kedudukan yang membimbangkan. Sudah tentu ia akan merencatkan perpaduan kita.

“Tindakan sebegini pasti akan memecahbelahkan anak bangsa Malaysia. Sepatutnya kegiatan kokurikulum terutamanya sukan perlu dimanfaatkan bagi tujuan perpaduan kerana sukan itu adalah ‘alat’ penyatuan,” kepada Sinar Ahad pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: KPM ambil tindakan sekolah tetapkan kokurikulum ikut kaum

KBS bidas tindakan sekolah tetapkan sukan mengikut kaum

Tambah Kok Seong, amat mengecewakan perkara itu berlaku kepada institusi yang seharusnya memainkan peranan sebagai tempat untuk murid pelbagai kaum berinteraksi antara satu sama lain.

“Sekolah adalah satu tempat sosialisasi anak-anak bangsa dan pentadbiran sekolah ini nampaknya tidak mahu menjayakan sosialisasi itu.

“Sebaliknya pentadbiran sekolah ini mahu menggagalkan sosialisasi itu dengan adanya pengasingan etnik dalam bidang kokurikulum itu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kluster Kesepaduan Sosial dan Perpaduan Nasional, Akademi Profesor Malaysia (APM), Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong menyifatkan kejadian yang berlaku itu bertentangan dengan dasar sukan dan perpaduan yang dilaksanakan kerajaan.

“Tindakan sekolah tersebut adalah sesuatu yang mundur dan bertentangan dengan Dasar Sukan Negara, Dasar Perpaduan Negara yang baru dilancarkan serta Rukun Negara yang sering diikrarkan di sekolah.

“Kita sekarang sudah berada pada dekad ketiga abad ke-21, sudah lebih 60 tahun merdeka. Selama 30 tahun kita diasuh dengan Wawasan 2020 tentang bangsa Malaysia dan sekarang Wawasan Kemakmuran Bersama yang semuanya menekankan perpaduan antara kaum.

“Sepatutnya semua institusi dalam negara dan masyarakat khususnya sekolah menjadi institusi di barisan hadapan dalam memupuk integrasi antara kaum,” jelas beliau.

Abdul Rahman berkata, bagi mengelakkan perkara itu daripada berulang, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberikan penerangan yang jelas mengenai polisi negara dalam isu berkaitan perpaduan dan memastikan semua sekolah melaksanakannya.

“Kerajaan melalui KPM menguar-uarkan untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan semua murid tidak kira kaum.

“Tetapi untuk menjadi sekolah pilihan semua kaum, KPM dan pengetua sekolah perlu menunjukkan sekolah kebangsaan itu mempunyai ciri dan nilai inklusif yang meraikan semua kaum dalam aktivitinya serta tidak memecahbelahkan pelajar,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!