Negara kita bagaikan dalam filem Hollywood

Bermula daripada kes Datuk Seri Nicky dan wang tunainya yang berguni-guni dan ditayangkan atas meja.
Bermula daripada kes Datuk Seri Nicky dan wang tunainya yang berguni-guni dan ditayangkan atas meja.
A
A
A

BELALANG tidak dapat melelapkan mata sejak beberapa hari lalu mengenangkan kontroversi yang melanda negara tanpa henti − daripada satu kes ke satu kes yang lain.

Manakan tidak. Bermula daripada kes Datuk Seri Nicky dan wang tunainya yang berguni-guni dan ditayangkan atas meja bagaikan duit permainan monopoli sehinggalah kepada rampasan jongkong emas bertimbun-timbun, kita berasakan negara kita macam dalam filem Hollywood.

Selama ini kita hanya tonton dalam filem dengan berlatar belakangkan negara seperti Mexico, Nicaragua atau negara Eropah Timur.

Tapi kini kita tidak payah bersusah payah lagi dah kerana kita boleh saksikan semua itu dalam negara sendiri.

Tengok sidang akhbar Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan atau Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador, kita dah boleh saksikan eksibit barisan wang tunai dengan pelbagai jenis mata wang bertimbun atas meja dan yang paling dahsyat adalah bungkusan dadah berkoyan-koyan.

Dan yang paling merunsingkan kita adalah rampasan dadah ini yang nilainya di pasaran terbuka berjuta-juta ringgit boleh dikatakan dirampas oleh pihak berkuasa saban minggu.

Satu dirampas, esok ada satu lagi yang baharu. Tak habis-habis bagaikan episod yang tiada kesudahannya.

Paling menakutkan ialah orang kita sandarkan kepercayaan untuk melindungi negara kita daripada ancaman ini semua turut terlibat sama sebagai dalang.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini kita bernasib baik kerana ada orang seperti Ayob Khan yang dihantar ke Johor untuk membanteras segala jenis kegiatan jenayah di sana.

Persoalannya, selama mana boleh Ayob Khan bertahan di Johor. Beliau tidak akan bertahan selama-lamanya di JB. Akan tiba masanya beliau akan dipanggil balik ke Bukit Aman.

Ketika itu apa akan jadi dengan Johor? Harap-harap Ayob Khan dah tangkap habis semua kepala gangster.

Tapi yang dinamakan penjenayah, hari ni tangkap esok muncul yang baru.

Yang Belalang tak tahan, bukan sekadar penjenayah dan tokan dadah sahaja yang mencuri perhatian tapi ada kes lain seperti iklan raya judi online yang dilakonkan oleh lima pemuda-pemudi Melayu.

Selepas ditangkap dan disiasat, mereka memberitahu pihak berkuasa yang mereka tidak tahu rakaman video iklan yang mereka lakonkan itu adalah iklan judi.

Betapa mudahnya mereka diperdayakan sama macam kes dadah dan kes scam cinta yang memperdayakan wanita hingga sanggup menyerahkan wang simpanan hingga ke angka berjuta ringgit.

Paling malang adalah bagaimana seorang manusia yang mampu menyimpan wang sehingga berjuta-juta ringgit boleh melepaskan wang berkenaan begitu sahaja kepada seseorang yang tidak mereka kenali dan tidak pernah mereka temui.

BELALANG - Tidak boleh fikir bagaimana ini semua boleh terjadi dan masih terus terjadi di hadapan kita semua...