'Dah macam liga yo-yo'

Tindakan Gabriel Cabrera menyentuh pengadil perlawanan ketika aksi Sri Pahang menentang JDT di Kuantan pada Jumaat menimbulkan persoalan apabila hanya dilayangkan kad kuning. Gambar kecil: Jamal Nasir
Tindakan Gabriel Cabrera menyentuh pengadil perlawanan ketika aksi Sri Pahang menentang JDT di Kuantan pada Jumaat menimbulkan persoalan apabila hanya dilayangkan kad kuning. Gambar kecil: Jamal Nasir
A
A
A

BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan Liga Malaysia (Liga-M) umpama liga yo-yo terutama dalam isu mutu pengadilan yang disifatkan sering membuat keputusan yang tidak konsisten.

Isu mutu pengadilan kembali hangat diperkatakan penyokong selepas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Gonzalo Gabriel Cabrera menolak pengadil sebanyak dua kali dalam perlawanan menentang Sri Pahang FC di Kuantan pada Jumaat, namun hanya dilayangkan kad kuning.

Sebaliknya berlaku melibatkan insiden sama pada aksi Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Terengganu FC di Stadium Darul Aman minggu lalu yang menyaksikan pemain tuan rumah Fadzrul Danel Mohd Nizam dibuang padang kerana menyentuh pengadil.

Menurutnya, isu keputusan pengadil yang tidak konsisten ini seharusnya tidak berlaku kerana akan memberikan kesan kepada liga selain menimbulkan persepsi serta dakwaan bahawa wujud kongkongan daripada pihak tertentu dalam saingan Liga-M.

“Saya dah bagitahu banyak kali jangan ada 'double standard'. Ini nampak sangat dan ia menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak negara kenapa JDT macam ada kelebihan sedangkan mereka sama seperti kelab lain dalam saingan liga kita ini.

“Kalau nak buat keputusan biar adil dan jangan takut. Mana-mana pasukan yang buat kesalahan serius, maka ambil juga tindakan yang serius. Jangan orang lain kena kad merah, tetapi orang ini hanya kena kad kuning dengan insiden yang sama.

“Saya rasa perkara ini tidak adil kepada pasukan yang kena kad merah. Apa beza insiden tersebut? Adakah sentuh sikit atau dia sentuh banyak. Sentuh tetap sentuh dan ia sesuatu yang serius. Saya rasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kena buat sesuatu, kalau tak liga kita ini dah macam liga yo-yo la.

“Kita tak kisah JDT nak menang setiap perlawanan kerana mereka memang pasukan kuat, tetapi keputusan yang dijatuhkan pengadil itu biarlah mengikut undang-undang dan adil. Pengadil juga jangan rasa takut untuk layangkan kad,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Jamal Nasir mengharapkan tindakan tegas boleh diambil oleh FAM dan MFL untuk mengelakkan isu menyentuh pengadil dan keputusan tidak konsisten diberikan pengadil perlawanan tidak berlaku lagi dalam perlawanan akan datang.

“Kita tidak mahu liga ini tercemar dengan insiden dan isu sebegini yang langsung tidak membantu untuk meningkatkan mutu liga kita ke arah yang lebih maju dan profesional.

“Jadi, tindakan tegas selain perhatian khusus perlu diberikan kepada insiden sebegini kerana ia telah kerap kali berlaku dan boleh dikatakan terjadi setiap minggu dalam saingan Liga-M,” katanya.