X

Kindly register in order to view this article
!

200,000 orang positif Covid-19 sehari, India dilanda gelombang kedua

Dua pesakit Covid-19 terpaksa berkongsi katil di sebuah hospital di New Delhi.
A
A

NEW DELHI - India kini berdepan gelombang kedua Covid-19 apabila pada Khamis lalu lebih 200,000 orang dijangkiti pandemik itu dalam tempoh sehari iaitu satu rekod terbaharu di negara berkenaan.

Kementerian Kesihatan negara tersebut melaporkan bahawa terdapat sebanyak 200,739 kes jangkitan manakala 1,038 orang sudah meninggal dunia pada hari tersebut menjadikan jumlah keseluruhan yang mati ekoran Covid-19 ialah 173,123 orang.

Berikutan peningkatan mendadak itu, India mencatatkan keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 14.1 juta, menjadikan negara itu berada di tempat kedua di belakang Amerika Syarikat (AS) yang menduduki tempat pertama dengan 31.4 juta kes pada Khamis lalu.

Peningkatan mendadak itu menyebabkan katil-katil di hospital-hospital India dan tangki oksigen bagi membantu pesakit Covid-19 bernafas dengan selesa tidak mencukupi untuk menampung bilangan pesakit yang ramai antaranya di Gujarat iaitu negeri kelahiran Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Sistem penjagaan kesihatan di negara berkenaan kini berdepan dengan tekanan yang tinggi sehinggakan terdapat laporan bahawa satu katil hospital dikongsi oleh dua pesakit Covid-19.

Namun, ia adalah realiti yang berlaku di sebuah hospital kerajaan di New Delhi iaitu ibu negara India ketika kes pandemik tersebut semakin meningkat saban hari.

Suasana itu menyebabkan seorang anggota pasukan perubatan Covid-19 di Mumbai, Dr Shashank Joshi menganggap peningkatan kes itu umpama tsunami yang tiba-tiba melanda infrastruktur penjagaan kesihatan di negara berkenaan.

Dalam satu kes, seorang individu yang disyaki dijangkiti Covid-19 dan berada dalam keadaan kritikal diisytiharkan sudah meninggal dunia sebanyak dua kali tetapi sebenarnya beliau masih hidup di sebuah hospital di Madhya Pradesh.

Kakitangan kesihatan India terpaksa menghadapi peningkatan mendadak pesakit Covid-19 sejak beberapa hari lalu.
Kakitangan kesihatan India terpaksa menghadapi peningkatan mendadak pesakit Covid-19 sejak beberapa hari lalu.

Katil-katil di hospital-hospital swasta di bandar Patna juga penuh sehinggakan pesakit baharu hanya dibenarkan masuk untuk menerima rawatan setelah pesakit lama dibenarkan keluar.

Sekurang-kurangnya 70 ambulans yang membawa pesakit Covid-19 tidak dibenarkan untuk menghantar pesakit Covid-19 kerana ketiadaan katil yang mencukupi pada Selasa lalu.

Dalam satu kes tragik, seorang pesakit yang disahkan menghidap Covid-19 dan merupakan bekas askar dilaporkan meninggal dunia di dalam kenderaannya ketika menunggu kebenaran untuk dirawat di sebuah hospital kerajaan di negeri Bihar beberapa hari lalu.

Peningkatan itu cukup membimbangkan kerana pada Januari dan Februari lalu, negara berkenaan hanya mencatatkan kes Covid-19 tidak lebih daripada 20,000 kes sehari.

Dalam satu kes, pihak berkuasa di sebuah hospital di Patna terpaksa membenarkan pesakit keluar disebabkan oleh kekurangan tangki oksigen.

Bagaimanapun, ekoran peningkatan yang mendadak itu, kerajaan menyalahkan kegagalan penduduk untuk mengikut norma-norma baharu seperti memakai pelitup muka dan penjarakkan sosial.

Kerajaan negeri Uttarakhand iaitu tempat majlis keagamaan Hindu iaitu Kumbh Mela berlangsung di Haridwar menerima kritikan kerana membenarkan ia diadakan walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19.

Menurut portal berita The Hindu, lebih 1,700 orang yang menghadiri majlis keagamaan itu dijangkiti Covid-19 dari 10 April hingga 14 April lalu sekali gus mengesahkan ia mungkin menyebabkan peningkatan kes pandemik itu.

Ratusan ribu penganut agama Hindu dilaporkan menghadiri majlis keagamaan itu di Sungai Ganges, Haridwar yang menurut portal berita tersebut berlaku pelanggaran norma-norma Covid-19 seperti para pengunjungnya tidak memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan sosial.

Berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19, banyak negeri mula melaksanakan sekatan perjalanan antaranya Maharashtra, Gujarat manakala lockdown di semua kampung dan bandar di Uttar Pradesh dilaksanakan selama sehari pada Ahad ini.

Di New Delhi pula, semua restoran, pasar raya, gimnasium dan spa diarahkan ditutup pada hujung minggu.

Majlis perkahwinan boleh diteruskan di ibu negara India itu tetapi jumlah tetamu hanya dihadkan kepada 50 orang dan 20 orang dibenarkan menghadiri majlis pengebumian manakala satu pertiga daripada jumlah penonton dibenarkan menonton filem di pawagam.

Berikutan banyak negeri mengalami kekurangan vaksin, kerajaan India akan mengimport vaksin Covid-19 buatan Rusia iaitu Sputnik V dan bersetuju untuk mempercepatkan vaksinasi ke atas negara yang mempunyai 1.39 bilion penduduk.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!