Telekung merah pemberian terakhir arwah Iqbal kepada ibu

Arwah Muhammad Iqbal.
Arwah Muhammad Iqbal.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang ibu tidak menyangka mesej bergambar yang dihantar anak lelakinya melalui aplikasi WhatsApp adalah yang terakhir perbualan antara mereka berdua.

Noraini Jaafar, 54, berkata, anak keduanya itu menghantar gambar menu berbuka puasa dan gambarnya memakai uniform untuk ke tempat kerja dua hari lalu.

"Siapa yang tidak terkejut apabila mendapat berita bahawa anaknya sudah tiada sedangkan saya baru berbual dengan arwah dua hari lalu di WhatsApp.

"Arwah ada menyatakan rindu masakan saya kerana tidak dapat pulang. Pada waktu kami berbual itu, tiada perubahan yang ditunjukkan arwah," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Sabtu.

Noraini merupakan ibu kepada anggota polis, Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 22, yang maut dalam kemalangan ketika mengejar penjenayah dalam kejadian di Jalan Utama di sini pada jam 1.35 pagi pada Sabtu.

Noraini berkata, dia mendapat tahu kejadian yang menimpa anak kedua dari tiga beradik itu selepas menerima panggilan daripada kawan arwah pada jam 2.35 pagi.

"Selepas terima berita itu, saya dan suami, Mazlan Omar terus bergegas dari Kuala Besut, Terengganu ke sini (Pulau Pinang) untuk proses pengecaman.

"Saya sedih tetapi reda dengan pemergian arwah anak saya. Dia anak yang baik. Baru-baru ini (9 April) dia ada kirim telekung berwarna merah untuk saya. Itu lah pemberian terakhir arwah yang akan saya simpan untuk selama-lamanya.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap penjenayah yang menyebabkan kematian anak saya itu dikenakan hukuman setimpal," katanya.

Keluarga arwah sedang menunggu proses bedah siasat di Jabatan Forensik HPP.
Keluarga arwah sedang menunggu proses bedah siasat di Jabatan Forensik HPP.

Dalam kejadian awal pagi itu, arwah yang merupakan anggota Balai Polis Datuk Keramat itu sedang membuat rondaan cegah jenayah bersama dua rakan setugasnya.

Arwah baharu memulakan tugasnya sebagai anggota polis sejak 18 bulan lalu di balai polis tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketika rondaan itu, arwah bersama dua rakan setugasnya terserempak dengan seorang lelaki sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, ketika ditahan suspek terus memecut laju motosikal ke arah Jalan Scotland lalu dikejar oleh ketiga-tiga anggota polis tersebut.

Tambahnya, ketika tiba persimpangan lampu isyarat, motosikal arwah bergesel dengan suspek yang disyaki tokan dadah lalu terjatuh dan kepalanya terhantuk pada pembahagi jalan.

"Arwah maut di tempat kejadian manakala suspek yang berusia 35 tahun dan mempunyai 11 rekod jenayah itu berjaya ditahan. Ujian saringan air kencing suspek positif dadah.

"Suspek akan direman di Kompleks Mahkamah Georgetown esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HPP pada Sabtu.

Soffian berkata, mayat Muhammad Iqbal akan dibawa balik ke kampung halamannya Kampung Air Tawar, Besut di Terengganu untuk dikebumikan di sana.