Sistem pengumuman awam bantu pematuhan SOP di bazar Ramadan

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggunaan sistem pengumuman awam dilihat sangat berkesan dalam membantu kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sistem seperti itu tidak sukar untuk dibentuk serta bebas penyelenggaraan.

"Selain anggota polis dan Rela yang ditugaskan untuk mengawasi orang ramai di bazar, apa yang ingin saya sarankan adalah penggunaan sistem pengumuman awam.

"Sistem tersebut akan menyiarkan mesej berkala yang mengingatkan semua orang untuk menjaga penjarakan fizikal mereka dan kepatuhan kepada SOP," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebagai alternatif katanya, pegawai dari pihak berkuasa tempatan dapat meronda bazar tersebut untuk terus mengingatkan rakyat memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal ketika membeli makanan kegemaran mereka untuk berbuka puasa.

Tambah beliau, cara lain yang berkesan dalam membantu pematuhan SOP di bazar Ramadan adalah untuk pembeli merancang lebih awal apa yang ingin mereka beli dan mengehadkan masa mereka di bazar.

"Sekiranya sebelum ini, mereka menghabiskan 20 minit untuk melihat-lihat gerai, mungkin mereka harus mengehadkan sehingga 10 minit.

"Ini dapat dilakukan jika merancang terlebih dahulu makanan apa yang ingin mereka beli, kemudian secara langsung menuju ke warung yang relevan, dan kemudian keluar dari bazar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata Lam Thye, sekiranya semua orang mematuhi SOP ditetapkan, Hari Raya Aidil Fitri dapat dirayakan sepenuhnya oleh semua.