Keputusan batal subsidi haji khianati umat Islam: Noraini

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Kerajaan PH untuk membatalkan pemberian subsidi kepada jemaah haji yang berjaya dalam rayuan dan mana-mana individu yang menjadi pengiring mahram bagi mengerjakan haji tahun ini dilihat sebagai mengkhianati umat Islam negara ini.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, subsidi yang dibatalkan itu mencerminkan dasar dan pendekatan Kerajaan PH yang mula menekan umat Islam khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

“Tabung Haji (TH) ini adalah institusi yang sepatutnya membantu memudahkan rakyat Malaysia beragama Islam yang mempunyai kedudukan kewangan yang berbeza untuk menunaikan rukun Islam iaitu menunaikan haji,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menafikan kerajaan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai polisi penghapusan subsidi haji kepada bakal haji dipilih melalui proses rayuan atau pengiring sebagaimana ditularkan ketika ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan kenyataan rasmi TH sebelum ini menjelaskan mana-mana bakal haji dipilih menerusi proses rayuan atau pengiring akan dinilai agensi itu merangkumi aspek kemampuan individu itu atau dalam istilah fekah, istito'ah.

Aspek kemampuan akan dipertimbangkan TH terhadap perayu termasuk keupayaan individu itu membiayai kos keseluruhan haji yang kini mencecah RM22,900.

Dalam pada itu, Noraini yang merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, TH bertanggungjawab untuk mengurus pelbagai kemudahan demi kebajikan jemaah haji negara ini secara komprehensif dan sistematik, justeru institusi itu tidak harus dipolitikkan dan diperkotak-katik apatah lagi untuk menekan umat Islam.

Artikel Berkaitan: