Tujuh pelajar Maktab Mahmud Baling positif Covid-19

Seramai tujuh pelajar Maktab Mahmud Baling dijangkiti Covid-19. (Gambar kecil: Mohd Hayati)
Seramai tujuh pelajar Maktab Mahmud Baling dijangkiti Covid-19. (Gambar kecil: Mohd Hayati)
A
A
A

ALOR SETAR - Tujuh pelajar Maktab Mahmud Baling di sini didapati positif Covid-19 dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah masih lagi sedang menyiasat punca kluster jangkitan pandemik tersebut.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, seramai 80 pelajar, 23 guru dan dua penyelia juga telah dikenal pasti menjadi kontak rapat kepada pelajar positif terbabit dan dipakaikan gelang pink.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima pelajar-pelajar yang positif tersebut membabitkan enam pelajar perempuan Tingkatan Empat dan seorang lagi adalah pelajar perempuan Tingkatan Satu di maktab tersebut.

"Jika terdapat kes daripada banyak kelas, barulah sekolah akan ditutup. Namun perkara ini akan bergantung kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah.

"Siasatan mengenai kes ini masih lagi berjalan termasuklah melaksanakan kerja-kerja isolasi oleh JKN Kedah," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Tautan Kasih Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim bersama pengamal media Kedah di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berharap semua ibu bapa dapat memberi perhatian kepada perkara tersebut sambil menasihati masyarakat Baling akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah digariskan kerajaan.

"Semua pelajar yang positif telah pun dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut di Alor Setar," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dr Hayati mengingatkan penduduk di Kedah agar terus berhati-hati dengan penularan varian baharu Covid-19 yang dikesan sudah berada di Lembah Klang.

Artikel Berkaitan:

"Kita bimbang kerana sudah ada varian baharu yang masuk negara kita dari Afrika Selatan, Brazil dan United Kingdom. Varian ini didapati lebih ganas dan difahamkan vaksin yang ada sekarang pun tidak berkesan untuk varian ini," katanya.

Tambah beliau, orang ramai tidak digalakkan membawa anak kecil ke tempat yang sesak seperti bazar Ramadan bagi mengelakkan penularan pandemik tersebut.