Dua pelajar tajaan MyPAC harumkan nama negara

Nurul Fatin Nabihah, Siti Naziah
Nurul Fatin Nabihah, Siti Naziah
A
A
A

SHAH ALAM - Dua pelajar di bawah tajaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bagi Mac 2021.

MyPAC dalam satu kenyataan berkata, Nurul Fatin Nabihah Hamdan dan Siti Naziah Mohamad Nazid berjaya menempatkan diri dalam 10 Pemenang Terbaik Dunia bagi peperiksaan tersebut.

Katanya, Nurul Fatin Nabihah berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi subjek Laporan Perniagaan Strategik.

“Dia merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.69.

“Nurul Fatin Nabihah juga merupakan anak sulung daripada empat beradik dan pencapaian ini menjadi ikon kepada keluarganya.

“Ayahnya yang bekerja sebagai pekebun dan ibu sebagai suri rumah amat berbangga di atas pencapaian anak mereka,” kata kenyataan tersebut pada Sabtu.

Dalam pada itu, Siti Naziah pula berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat ketujuh di dunia bagi subjek audit dan jaminan.

Pelajar itu berjaya menempatkan diri dalam kalangan mereka yang berjaya secara berterusan dan menamatkan pengajian bermula daripada Certified Accounting Technician (CAT) sehingga ke peringkat ACCA.

Artikel Berkaitan:

“Menerusi MyPAC, dia berjaya menyambung pengajian di bawah tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

“Siti Naziah sememangnya telah membuat ibunya bangga di atas kejayaannya dan menjadi contoh kepada adik lelakinya setelah kehilangan ayah mereka pada tahun 2018 akibat daripada kanser limfoma.

“Dia juga merupakan seorang yang aktif dalam penglibatan kokurikulum di institusinya dengan memegang sebagai biro kelab Persatuan Pelajar Profesional,” ujarnya.