Disamun tiga lelaki bersenjatakan parang

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang operator kilang kerugian kira-kira RM1,300 apabila dia disamun tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian berhampiran lampu isyarat, Jalan Perindustrian Bukit Minyak di sini petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa yang memandu kereta sendirian dikatakan dihalang oleh tiga lelaki berkenaan yang menaiki dua buah motosikal di persimpangan lampu isyarat terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketiga-tiga suspek kemudiannya menunjukkan sesuatu seperti parang kepada mangsa dan mengarahkan dia menyerahkan telefon bimbit dan wang tunai miliknya.

"Kerana takut sesuatu yang lebih buruk berlaku, mangsa yang berusia 31 menyerahkan telefon bimbitnya yang berjenama Samsung dan dompet yang mengandungi wang tunai RM300 kepada mereka.

"Selepas mendapatkan wang dan telefon bimbit berkenaan kesemua suspek kemudiannya melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa tidak sempat untuk mengecam nombor pendaftaran dan jenis motosikal yang dinaiki ketiga-tiga suspek.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian juga mendapati kawasan berkenaan tidak diliputi pengawasan kamera litar tertutup (CCTV).

"Siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi mengenalpasti identiti suspek yang terlibat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan," katanya.

Artikel Berkaitan: