Warga emas ditahan bantu siasatan kes pukul pemandu kereta

Pemandu kereta dipukul beberapa pengguna jalan raya selepas dikatakan mengakibatkan penunggang motosikal wanita cedera parah. - Gambar ihsan pembaca
Pemandu kereta dipukul beberapa pengguna jalan raya selepas dikatakan mengakibatkan penunggang motosikal wanita cedera parah. - Gambar ihsan pembaca
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga emas ditahan bagi membantu siasatan kes seorang pemandu kereta dipukul oleh orang awam di Jalan Taman Cendana-Masai, Pasir Gudang, di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki berusia 61 tahun itu ditahan di kediamannya, di sekitar bandar raya ini, malam tadi.

"Lelaki berkenaan kini direman selama enam hari manakala tiga lagi individu kini sedang diburu polis berhubung kes itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Infaq Ramadan di Taman Molek, di sini pada Sabtu.

Dua hari lepas, sebuah video tular di laman sosial yang menunjukkan seorang remaja lelaki memandu Proton Wira dipukul beberapa pengguna jalan raya selepas dikatakan mengakibatkan penunggang motosikal wanita cedera parah di bahagian kepala, kaki dan tangan.

Kejadian tersebut berlaku di satu persimpangan lampu isyarat, selepas kereta Proton Wira dipandu remaja tersebut terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal Honda EX5 ditunggang wanita berusia 38 tahun berkenaan.

Akibat dipukul, remaja berumur 18 tahun berkenaan cedera di kepala, muka, kaki kanan, patah hidung, patah jari manis dan kelengkeng. - Bernama

Artikel Berkaitan: