X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia mohon Vietnam pertimbang tambah acara sukan

Megat D Shahriman - Foto Bernama
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) menyifatkan keputusan tuan rumah Vietnam mengekalkan 11 jenis sukan dalam Sukan Para ASEAN Hanoi 2021 memberi memberi impak kepada sasaran jumlah pungutan pingat kontinjen negara pada kali ini.

Malah menurut presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, keputusan Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Vietnam (VIEAPGOC) tersebut juga menjejaskan momentum atlet yang telah melakukan persiapan rapi.

“Pengumuman terbaru VIEAPGOC akan memberi impak kepada sasaran jumlah pungutan pingat kali ini kerana begitu banyak acara sukan utama tidak dipertandingkan pada temasya kali ini.

“Bagaimanapun saya tidak mahu menyebut beberapa jumlah pingat yang masih berpeluang untuk kontinjen Malaysia rebut. Segala pengumuman berkaitan sasaran pingat akan diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu Megat D Shahriman mengakui ketiadaan sukan berbasikal akan menjejaskan pungutan pingat kontinjen negara kerana sukan tersebut merupakan penyumbang 22 pingat emas pada edisi Kuala Lumpur 2017.

“Pihak MPM sudah berbincang dengan pasukan basikal para negara dan mereka turut merayu MPM untuk meyakinkan tuan rumah Vietnam untuk menyenaraikan acara sukan tersebut.

“Cumanya setakat ini tuan rumah masih kekal dengan keputusan mempertandingkan 11 sukan, mereka tidak bercadang untuk menambah acara sukan lain. Tetapi Malaysia masih berharap Vietnam dapat mempertimbangkan cadangan sehingga tarikh akhir setiap kontinjen perlu menyerahkan senarai panjang atlet,” katanya.

Sementara itu, Megat D Shahriman memaklumkan sembilan negara anggota lain yang sudah membuat persediaan rapi masih menaruh harapan tinggi untuk melihat sekurang-kurangnya 14 sukan dipertandingkan daripada 16 sukan yang dipertandingkan pada temasya kali terakhir edisi Kuala Lumpur 2017.

“Impak ini bukan saja ke atas Malaysia tetapi juga dirasai setiap negara anggota. Kebanyakan negara anggota tidak gembira dengan pengumuman ini, tetapi kami masih berusaha meyakinkan tuan rumah Vietnam untuk membuat pertimbangan sewajarnya mengenai cadangan penambahan empat sukan tersebut,” katanya.

VIEAPGOC sebelum ini memaklumkan kepada Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) bahawa kerajaan Vietnam dan pihak berkuasa berkaitan kekal dengan keputusan untuk mempertandingkan 11 jenis sukan dalam Sukan Para ASEAN Hanoi 2021.

Penganjur tidak dapat memenuhi cadangan untuk memasukkan empat sukan tambahan iaitu berbasikal, bola keranjang kerusi roda, bola sepak cerebral palsy (CP) dan bola tampar atas alasan ekonomi serta kesukaran dalam menyediakan venue serta kemudahan akibat pandemik Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Vietnam hanya tawar 11 jenis sukan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!