Tutup bazar Ramadan tiga hari jika ingkar SOP

Aminuddin (kiri) pada program Jom Shopping Raya Tanpa Covid di Aeon Seremban 2 pada Sabtu.
Aminuddin (kiri) pada program Jom Shopping Raya Tanpa Covid di Aeon Seremban 2 pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memberi amaran bahawa bazar Ramadan di negeri itu yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berdepan dengan tindakan tutup operasi selama tiga hari.

Aminuddin berkata, ia susulan pihaknya menerima aduan terdapat bazar Ramadan di sekitar Nilai yang tidak mematuhi SOP.

"Saya mendapat maklumat bahawa bazar Ramadan di Nilai ada berlaku sedikit masalah dan saya sudah meminta Datuk Bandar memanggil semua penganjur bazar diingatkan supaya mematuhi SOP.

"Jika ada yang ingkar kita akan minta supaya bazar tersebut ditutup selama tiga hari. Kita juga serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lain termasuk kompaun," katanya ketika ditemui pada program Jom Shopping Raya, Raya Tanpa Covid anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan di Aeon Seremban 2 pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia, Sutekno Ahmad Belon.

Tambahnya, setakat ini hanya kawasan di daerah Seremban yang dilaporkan terdapat sedikit masalah manakala bazar di daerah lain berada dalam keadaan baik.

"Saya menasihatkan kepada semua pengusaha bazar Ramadan agar sentiasa patuh SOP bagi mengelakkan penularan Covid-19 dan memastikan tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka sepanjang berniaga di bazar Ramadan ini," katanya.

Sementara itu, pada program Shoping Raya Tanpa Covid AADK itu, seramai 30 kanak-kanak daripada keluarga klien AADK Daerah Kuala Pilah menerima sumbangan kelengkapan baju raya termasuk bantuan keperluan dapur anjuran AADK Daerah Kuala Pilah dan Pejabat Daerah Kuala Pilah.

Artikel Berkaitan: