Kerajaan masih gagal tangani Covid-19 selepas 3 bulan darurat

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kes Covid-19 yang masih tinggi melebihi 2,000 kes setiap hari menunjukkan kerajaan gagal untuk menangani pandemik itu, walaupun setelah tiga bulan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 bermula 11 Januari lalu, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menurutnya, walaupun pelaksanaan darurat itu dikatakan langkah proaktif dalam membendung wabak Covid-19, ironinya situasi Covid-19 dilihat menjadi lebih berbahaya.

“Melihat peningkatan kes sehingga hari ini, kita boleh katakan kerajaan gagal kawal pandemik ini. Sebab itu, saya telah berikan cabaran, sila tunjukkan seksyen mana dalam Ordinan Darurat itu yang digunakan untuk menentang Covid-19.

“Kita nak sangat dengar kerajaan menggunakan darurat itu untuk menangani Covid-19 kerana ia alasan yang diberikan tapi sampai hari ini, tiada satu seksyen pun daripada Ordinan Darurat itu digunakan.

“Kerajaan kuatkuasakan perintah tidak boleh rentas negeri dan ada yang tidak boleh rentas daerah, begitu juga minta rakyat mendaftarkan diri untuk vaksin. Sedangkan kita hanya menggunakan akta sedia ada [Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)], termasuk melaksanakan perintah boleh buka dan tutup pasar malam, boleh mengehadkan masa berniaga dan sebagainya,” katanya ketika ditemui semasa membuat tinjauan di Pasar Awam Larkin Sentral, pada Sabtu.

Ahli Parlimen Pulai itu mendakwa, kerajaan hanya menggunakan pelaksanaan Ordinan Darurat untuk menggantung Parlimen kerana bimbang dengan majoriti yang diperoleh, seterusnya memungkinkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) jatuh.

“Apa yang kerajaan perlu lakukan sekarang ialah menarik balik perintah darurat dan membuka sidang Parlimen dan perbelanjaan negara yang telah dibelanjakan mesti dibahaskan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membayangkan negara berkemungkinan berdepan gelombang keempat penularan Covid-19 susulan peningkatan kes wabak berkenaan sejak akhir-akhir ini.

Artikel Berkaitan:

Ia berdasarkan kepada data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini, yang menunjukkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-Naught (Ro/Rt) pada 11 April lalu untuk seluruh negara kembali meningkat kepada 1.06.

Selain itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba turut menyatakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan rentas negeri untuk sambutan Aidilfitri pada bulan depan ditangguh, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.