X

Kindly register in order to view this article
!

Imigresen tahan 39 PATI di Klebang, Pasar Borong Batu Berendam

Sebahagian PATI yang ditahan di sekitar Pasar Borong, Batu Berendam, Melaka pada Sabtu.
A
A

MELAKA - Seramai 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 23 hingga 50 tahun ditahan dalam dua serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia Melaka di sini pada Sabtu.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Mohd Mukhlis Abu Kassim berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 1.15 pagi, seramai 31 warga asing terdiri daripada 22 lelaki warganegara Bangladesh, enam lelaki warganegara Pakistan dan tiga wanita Indonesia ditahan di sebuah penempatan pekerja asing di Klebang.

"Dalam serbuan pertama di kawasan cadangan pembangunan sebuah hotel dan kondominium, terdapat PATI cuba melarikan diri ke kawasan pantai dan belukar berhampiran dengan memanjat pagar.

"Bagaimanapun percubaan mereka gagal dan kesemua PATI berjaya ditahan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, jumlah selebihnya ditahan dalam serbuan kedua di sekitar Pasar Borong Batu Berendam.

Menurutnya, dalam serbuan kedua jam 4 pagi, lapan PATI terdiri daripada enam lelaki warga Indonesia dan dua lelaki warganegara Myanmar ditahan dan kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal melebihi masa di negara ini dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih 130 warga asing diperiksa dalam kedua-dua operasi bersepadu itu dan mereka yang ditahan dibawa ke Depot Sementara Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Melaka untuk tindakan lanjut.

"Kita akan sentiasa membuat pemantauan berterusan di lokasi 'hotspot' yang sering menjadi tumpuan warga asing seperti penempatan-penempatan haram.

"PATI yang berada di negara ini dinasihatkan mengambil peluang pulang ke negara asal secara teratur dengan menyertai program Rekalibrasi Pulang (RP)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!