Kerajaan masih guna mekanisme sama kawal kenaikan harga barang

Che Abdullah (dua dari kanan) semasa mengadakan lawatan ke tapak penternakan arnab di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas.
Che Abdullah (dua dari kanan) semasa mengadakan lawatan ke tapak penternakan arnab di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Mekanisme dan dasar kerajaan terdahulu dalam mengawal kenaikan harga barangan di pasaran masih diguna pakai oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Che Abdullah Mohamad Nawi bagaimanapun berkata, penularan pandemik Covid-19 yang sedang melanda ketika ini menyebabkan berlakunya peningkatan harga barangan di pasaran.

"Selain itu, faktor-faktor lain turut menjadi sebahagian yang menyumbang kepada peningkatan harga tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak penternakan arnab di Kampung Banggol Chica di sini pada Sabtu.

Menurutnya, ketika ini tiada sebarang perubahan polisi berlaku cuma dibezakan oleh keadaan semasa iaitu pandemik Covid-19.

Beliau berkata, serangan Covid-19 merupakan perkara baharu yang tidak pernah berlaku.

Che Abdullah berkata, susulan itu ada beberapa perkara baharu yang perlu diatasi oleh kerajaan.

Katanya, MAFI akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta kementerian berkaitan bagi mengatasi kenaikan bahan mentah di pasaran ketika ini.

"Tidak dinafikan kenaikan harga barang berlaku disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kos pengangkutan, makanan haiwan ternakan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kami berharap tidak ada pihak memanipulasi atau mengambil kesempatan pada musim ini untuk mencari keuntungan," kata beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Tumpat itu menegaskan, bekalan daging sepanjang tempoh Ramadan sehingga Aidilfitri mencukupi.

Katanya, ia merangkumi sumber tempatan dan import.