Sultan Selangor berkenan terima zakat perniagaan RM37 juta

Sultan Sharafuddin (kanan) menerima zakat perniagaan daripada TH di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada Jumaat.
Sultan Sharafuddin (kanan) menerima zakat perniagaan daripada TH di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada Lembaga Tabung Haji (TH) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM37.44 juta.

Selangor Royal Office memaklumkan, baginda mewakili LZS menerima zakat perniagaan itu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada Jumaat.

Kenyataan itu memberitahu baginda turut diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

"Turut berangkat, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. Baginda turut berkenan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Sementara itu, LZS dalam satu kenyataan medianya memberitahu, TH mendahului senarai syarikat menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM27,712,316.97 diwakili Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff bagi tahun kewangan 2020.

Kenyataan itu menjelaskan, SPAN diwakili Pengerusinya, Wan Hassan Mohamed Ramli menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM9,730,197 bagi tahun kewangan 2020.

Hadir sama dalam majlis itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusof.

Artikel Berkaitan: