Semangat Liek Hou kian membara raih emas di Tokyo

Liek Hou (kanan) bersama Rashid semasa Kejohanan Badminton Para Fazza-Dubai di UAE 4 April lalu. - Foto: Badminton Shuttle Time Dubai
Liek Hou (kanan) bersama Rashid semasa Kejohanan Badminton Para Fazza-Dubai di UAE 4 April lalu. - Foto: Badminton Shuttle Time Dubai
A
A
A

SEMANGAT pemain perseorangan lelaki badminton para negara, Cheah Liek Hou kian membara untuk cuba meraih pingat emas dalam Sukan Paralimpik di Tokyo, yang dijadualkan berlangsung Ogos ini.

Jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek berkata, Cheah menunjukkan motivasi tinggi untuk menghadiahkan emas badminton yang pertama kali disenaraikan pada temasya di Jepun itu nanti selepas menjuarai Kejohanan Badminton Para Fazza-Dubai, di Emiriah Arab Bersatu (UAE) 4 April lalu.

“Peluang untuk Cheah menang emas di Tokyo itu agak tinggi lebih-lebih lagi selepas menundukkan musuh ketatnya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia di Dubai tempoh hari,” katanya ketika dihubungi.

Cheah yang merupakan pemain nombor dua dunia muncul juara kategori SU5 (kecacatan bahagian atas tubuh badan) selepas menundukkan Dheva yang juga pemain nombor satu dunia 14-21, 22-20, 21-18 pada aksi final di Kelab Shabab-Al Ahli, Dubai.

Bagaimanapun, Rashid mengingatkan Cheah agar tidak mengambil mudah cabaran di Tokyo nanti dan kekal fokus dengan meneruskan rejim latihan keras bagi memperbaiki kelemahan yang ada selain meningkatkan lagi kemahiran dan corak permainannya.

Katanya, ini kerana Cheah, 33, dijangka menghadapi lawan yang jauh lebih muda daripadanya dan situasi ini pastinya mampu menggugat peluang pemain berkenaan untuk merealisasikan impian menjelmakan emas buat negara.

“Saya tidak mahu letak tekanan tinggi kepadanya namun saya yakin Cheah mampu menggunakan pengalaman dimiliki ketika beraksi di Jepun nanti walaupun pemain muda lain mempunyai tenaga yang bagus dan lebih segar,” tambahnya.

Rashid berkata, sekiranya Cheah mampu merangkul emas pada Sukan Paralimpik di ibu kota Jepun itu nanti, ia bakal menjadi detik terindah buat pemain itu sebelum menggantung raketnya kelak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rashid berharap agar juara dunia perseorangan lelaki sebanyak enam kali itu mampu memenangi satu kejohanan di Sepanyol bulan depan bagi mengekalkan momentum terbaik sebelum turun berjuang di Sukan Paralimpik nanti.

Selain Cheah, beliau berkata, kejohanan itu akan turut disertai oleh seorang lagi juara di Dubai iaitu Muhammad Ikhwan Ramli menerusi kategori WH1 (kerusi roda) dan Didin Taresoh dalam kategori SS6 (kerdil).

Menurutnya, kejohanan terakhir sebelum Sukan Paralimpik di Tokyo itu penting bagi Muhammad Ikhwan dan Didin untuk cuba meraih mata berharga dalam usaha mereka memburu slot ke Jepun nanti.

INFO

Sukan Paralimpik di Tokyo akan berlangsung pada 24 Ogos hingga 5 September depan.