MUIP salur bantuan pendidikan RM1.2 juta

Ahmad Hairi (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Replika Cek Sumbangan kepada Institusi Pendidikan Negeri Pahang, di Pejabat MUIP Kuantan pada sabtu.
Ahmad Hairi (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Replika Cek Sumbangan kepada Institusi Pendidikan Negeri Pahang, di Pejabat MUIP Kuantan pada sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah mengagihkan bantuan pendidikan sebanyak RM1.2 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, agihan bantuan itu kepada insitusi pendidikan Islam termasuk sekolah agama rakyat (SAR), maahad tahfiz, sekolah menengah agama Pahang, sekolah menengah, Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) dan dua universiti tempatan.

"Kita akan terus menyalurkan bantuan kepada institusi pendidikan di negeri ini bagi melancarkan lagi aktiviti pendidikan agama seiring dengan keperluan semasa.

"Saya berharap institusi yang menerima sumbangan ini dapat menggunakan dengan sebaiknya bantuan berkenaan untuk keselesaan bersama," katanya pada Majlis Penyampaian Replika Cek Sumbangan kepada Institusi Pendidikan Negeri Pahang, di Pejabat MUIP Kuantan pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman.

Beliau berkata, golongan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk enam penuntut yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang agama turut diberikan bantuan.

Ahmad Hairi menambah, bantuan antara RM20,000 hingga RM291,750 yang diberikan antaranya untuk pembelian bas, menyediakan peralatan asrama, baik pulih bangunan dan sumbangan Ihya Ramadan.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada pembayar zakat Pahang kerana dengan kutipan zakat yang diterima memberi peluang kepada MUIP mengagihkan kepada asnaf yang layak termasuk untuk institusi pendidikan Islam.

Artikel Berkaitan:

Bagi Rektor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Profesor Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin, bantuan yang diterima dapat digunakan untuk menyediakan kemudahan kepada pelajar dan kakitangan.

Mohd Zawavi berkata, pihaknya menerima dana penyelidikan sebanyak RM289,000 daripada pihak MUIP.

"Kita akan gunakan bantuan itu dengan sebaik mungkin dan hasil penyelidikan akan dikongsi dengan MUIP," katanya.