Nafuzi akui tuah menyebelahi TFC

Konate meraikan jaringannya selepas gol tunggal untuk skuad Penyu ketika menentang Kuala Lumpur City FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat. - Foto Bernama
Konate meraikan jaringannya selepas gol tunggal untuk skuad Penyu ketika menentang Kuala Lumpur City FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menganggap tuah berpihak kepada skuad Penyu apabila memperoleh kemenangan pada hujung perlawanan ketika menentang Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.

Mengakui pelawat bukan lawan yang mudah, Nafuzi berkata, beberapa peluang gol yang terlepas daripada genggaman skuad The City Boys telah menyelamatkan kedudukan tuan rumah yang memulakan perlawanan dengan agak perlahan.

“KL City FC bukan lawan yang senang, pertahanan mereka sangat padu dan mereka juga sangat berbahaya ketika menyerang. Jadi bagi saya pada separuh masa pertama kita bernasib baik kerana pasukan lawan terlepas peluang. Antaranya apabila mereka hampir melakukan jaringan tetapi bola hanya singgah di palang gol,” katanya selepas perlawanan tersebut.

Perlawanan tersebut menyaksikan pemain tengah Makan Konate muncul sebagai wira menjaringkan gol tunggal pada minit ke-88 sekali gus menghadiahkan pasukannya tiga mata penuh dan menjadi penghuni tangga kedua liga.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City FC, Bojan Hodak tetap berbangga dengan aksi dipamerkan skuad bimbingannya walaupun terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Malah, pengendali dari Croatia itu menganggap perlawanan berkenaan adalah aksi terbaik pasukannya sepanjang musim 2021 bermula kerana mereka lebih banyak melakukan serangan dan mencipta peluang jaringan terutama pada separuh masa pertama.

“Kami lebih baik berbanding awal musim, bagaimanapun dalam bola sepak kita bermain untuk menjaringkan gol dan kita ada peluang tetapi tidak melakukannya. Sebab itu mereka (TFC) menang,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: