Taktik tukar bungkusan beras seludup tidak menjadi

Sanudin (dua dari kiri) bersama Nor Azizan (kanan) menunjukkan 37,400kg beras bernilai RM138,800 yang disembunyikan dalam treler di sebuah stor dekat Kampung Bendang, Tanah Merah.
Sanudin (dua dari kiri) bersama Nor Azizan (kanan) menunjukkan 37,400kg beras bernilai RM138,800 yang disembunyikan dalam treler di sebuah stor dekat Kampung Bendang, Tanah Merah.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Taktik penyeludup yang menukar bungkusan beras siam kepada tempatan ‘kantoi’ apabila berjaya dipatahkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu pada Sabtu.

Dalam serbuan jam 3 pagi itu, PGA berjaya merampas 37,400 kilogram (kg) beras bernilai RM138,800 yang disembunyikan di dalam treler di sebuah stor dekat Kampung Bendang, Tanah Merah.

Timbalan Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Sanudin Md Isa berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk treler dianggarkan berjumlah RM458,000.

"Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan anggota PGA Batalion 9 melakukan intipan di lokasi dan mendapati sebuah treler berada dalam keadaan mencurigakan.

"Kemudian datang seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik stor berkenaan, anggota PGA telah menunjukkan kad kuasa serta membuat pemeriksaan pengenalan diri di stor terbabit," katanya kepada pemberita di Markas PGA Lubok Stol, pada Sabtu.

Beliau hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Antara Pegawai PGA Batilon 9 Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof dengan Pegawai PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi.

Mengulas lanjut Sanudin berkata, anggota PGA telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas treler itu sambil disaksikan oleh pemilik stor tersebut.

Beliau berkata, pemeriksaan itu telah menemui 564 kampit beras seberat 50kg di atas treler berkenaan selain turut menemui 130 kampit beras seberat 50kg lagi di dalam kawasan stor berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua barangan rampasan termasuk treler dibawa ke Markas PGA Lubok Stol untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994," katanya.