Tun M gelar Najib PM paling teruk

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

LANGKAWI - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad menggelarkan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri paling teruk dalam sejarah negara.

Beliau mendakwa, Perdana Menteri keenam terbabit telah melakukan kerosakan termasuklah memusnahkan parti UMNO yang ditubuhkan bapanya sendiri.

"Najib hancurkan parti, parti yang dulu saya jadi presiden, yang ditubuhkan oleh bapanya.

"Kerajaan Malaysia pun rosak kerana Najib," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih, di Masjid Al-Ehsan Temonyong, Langkawi pada Jumaat.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta menjelaskan kenyataan beliau yang menyifatkan Ahli Parlimen Pekan sebagai Perdana Menteri paling teruk di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Najib merupakan individu yang menjadi punca kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disebabkan rakyat ingin menolak Ahli Parlimen Pekan itu.

Pada Selasa lepas, sebuah portal melaporkan Dr Mahathir memberi kritikan terhadap Najib yang terlibat dalam skandal 1MDB dan mendakwa Ahli Parlimen Pekan itu adalah Perdana Menteri paling teruk dalam sejarah Malaysia.

Bagaimanapun, Najib menerusi laman sosial Facebook rasminya menyenaraikan beberapa inisiatif diperkenalkan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku, Klinik 1 Malaysia,Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M), Rapid Pengerang, Lebuhraya Pan Borneo dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Najib turut membalas kritikan dengan menyatakan beliau hanya fokus kepada rakyat memerlukan namun dianggap tidak baik bagi pihak tertentu dan kroni mereka.

Artikel Berkaitan: