[DIKEMAS KINI] Lagi iklan raya promosi judi disiasat

Tangkap layar iklan raya judi dalam talian yang tular.
Tangkap layar iklan raya judi dalam talian yang tular.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Satu lagi video iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan mempromosikan perjudian online tular di media sosial pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, video itu akan disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

"Kita akan siasat (rakaman video berkenaan)," katanya ringkas pada Sabtu.

Hari ini, sebuah lagi video iklan menjadi tular di media sosial kerana mempromosikan khidmat perjudian dalam talian yang mengangkat tema sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Video yang berdurasi 3 minit 19 saat itu memaparkan babak pelakon-pelakon berpakaian tradisional iaitu baju Melayu dan baju kurung serta menyanyikan lagu bertemakan hari raya sambil mengiklankan aplikasi perjudian tersebut.

“Raya nak menjelang tiba, oh diri sedang mencuba (nama aplikasi judi), manalah tahu berjaya, hari raya kita kaya,” antara barisan lirik yang terdapat dalam video berkenaan.

Pada Jumaat, iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh sebuah syarikat perjudian yang mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda tular di media sosial.

Malah iklan perjudian berkenaan turut menggunakan khidmat beberapa pelakon dipercayai Muslim tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu menerusi iklan mereka.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, seramai lapan individu termasuk tiga wanita berusia antara 24 hingga 47 tahun disyaki terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juru video dan kamera serta produser bersama pengarah video ditahan polis untuk siasatan lanjut video pertama berdurasi dua minit satu saat.

Kesemua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pembikinan penggambaran video terbabit yang dibuat di dua lokasi iaitu Ampang serta Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular iklan Hari Raya Aidilfitri ajak berjudi

PDRM siasat penerbit, pelakon iklan raya promosi judi online

Video raya promosi judi: Polis tahan lapan individu