Iklan promosi judi: Mufti minta pihak terlibat bertaubat

Luqman Abdullah. Gambar kecil: Kenyataan akhabr oleh PMWP pada Sabtu.
Luqman Abdullah. Gambar kecil: Kenyataan akhabr oleh PMWP pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) meminta kesemua individu yang terlibat dengan penyiaran klip video berkaitan aktiviti perjudian, loteri dan kasino supaya segera bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, ini kerana umat Islam seharusnya menghindari sebarang perlakuan yang boleh mendatangkan fitnah kepada diri sendiri, masyarakat dan agama.

Jelasnya, Islam mengharamkan umatnya daripada melakukan sebarang bentuk perbuatan yang menjurus kepada pertaruhan ataupun perjudian.

“ALLAH telah berfirman di dalam al-Quran pada ayat 90 dalam surah al-Baqarah, bahawa aktiviti-aktiviti seperti berjudi, bertaruh nasib, meminum arak dan memuja berhala merupakan antara bentuk perbuatan syaitan yang wajib dijauhi.

“Merujuk kepada isu terbabit, PMWP ingin menyeru kepada umat Islam di negara ini agar menjauhi sebarang bentuk perbuatan yang boleh mengundang kemurkaan ALLAH.

“Matlamat untuk memperoleh kekayaan sama sekali tidak menghalalkan jalan-jalan seperti perjudian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Luqman, larangan kepada umat Islam untuk terlibat dengan aktiviti perjudian juga diwartakan dalam Seksyen 18, Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Pada Jumaat, tular sebuah iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh syarikat perjudian yang mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Iklan perjudian berkenaan turut menggunakan khidmat beberapa pelakon dipercayai Muslim tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu menerusi iklan mereka.

Luqman berkata, penularan video tersebut merupakan percubaan untuk menormalkan tindakan yang jelas bercanggah dengan tuntutan syarak dalam ikhtiar mendapatkan keuntungan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak di dalam negara agar sentiasa menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

“Isu penyiaran klip video ini secara tidak langsung telah membangkitkan sensitiviti dalam kalangan umat Islam. Pada masa yang sama, ia turut mencemarkan kemuliaan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Video raya promosi judi: Polis tahan lapan individu