X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga musang king putih mata, wang simpanan RM178,132 lesap

Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga musang king berputih mata selepas wang simpanan berjumlah RM178,132 lesap selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud.

Mangsa berusia 27 tahun berminat melabur kerana teruja selepas mendapat keuntungan pertama RM807 dengan hanya melabur RM500 melalui seorang kenalannya dikenali Qian Qian pada 19 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, setelah mendapat keuntungan pertama mangsa berminat untuk meneruskan pelaburan dan mula mempercayai suspek.

Menurutnya, suspek mencadangkan mangsa membuat pelaburan sebanyak RM20,000 dan berjanji akan menolong untuk menguruskan semua pelaburan tersebut.

"Setelah lapan hari mengadakan perbincangan, mangsa bersetuju untuk melabur dengan jumlah pelaburan lebih besar dan memasukkan wang berjumlah RM178,132 ke dalam empat akuan bank yang berbeza.

"Mangsa melakukan 17 kali transaksi secara dalam talian ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, selepas itu, mangsa menerima satu panggilan kononnya daripada khidmat pelanggan supaya membuat bayaran 35 peratus daripada jumlah pelaburan untuk mengaktifkan akaun.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian mahu mengeluarkan keuntungan yang terkumpul berjumlah RM218,715.384, namun tidak berjaya.

"Mangsa terus menghubungi pihak khidmat pelanggan bagi pengeluaran wang berkenaan dan dimaklumkan bahawa sistem pelaburan itu mengalami masalah.

"Mangsa sekali lagi diminta untuk membuat bayaran sebanyak 50 peratus daripada keuntungan itu bagi tujuan pengeluaran wang berkenaan, namun mangsa tidak bersetuju dan membuat keputusan untuk tidak meneruskan lagi pelaburan tersebut kerana mula merasa curiga," katanya.

Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub pada petang Jumaat.

"Modus operandi yang digunakan suspek dengan memperdaya mangsa dengan menawarkan pelaburan yang tidak wujud hingga mendorong memasukkan wang dan mengalami kerugian," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!