Kebun sawit jadi markas seleweng LPG diserbu KPDNHEP

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang sedang memeriksa tong gas LPG yang dirampas dalam serbuan di sebuah kebun kelapa sawit pada petang Jumaat.
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang sedang memeriksa tong gas LPG yang dirampas dalam serbuan di sebuah kebun kelapa sawit pada petang Jumaat.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 138 tong gas petroleum cecair (LPG) di sebuah kebun kelapa sawit pada petang Jumaat.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, dalam serbuan pada jam 2.30 petang itu, pihaknya turut merampas peralatan yang digunakan untuk memindahkan gas tersebut.

Menurutnya, hasil risikan dan aduan orang awam, 11 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang menyerbu sebuah lot tanpa nombor dalam kawasan kebun kelapa sawit di kawasan Bukit Minyak di sini.

"Ketika serbuan, beberapa pekerja yang disyaki sedang menjalankan penyelewengan berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak penguat kuasa.

"Siasatan di lot tersebut mendapati kumpulan tersebut melakukan aktiviti penyelewengan gas LPG di dalam kawasan tertutup di kebun kelapa sawit tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan mendapati modus operandi yang digunakan kumpulan tersebut adalah dengan memindahkan gas LPG bersubsidi 14 kilogram (kg) ke dalam tong gas industri 50kg.

"Kita berjaya merampas 30 tong LPG 50kg, 108 tong LPG 14kg dan peralatan yang digunakan untuk memindahkan gas tersebut. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM22,500.

"Kita memandang serius pelanggaran kelulusan lesen dan permit barangan kawalan yang dikeluarkan oleh KPDNHEP oleh pemilik perniagaan yang akan merugikan kerajaan dan rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sementara itu, bagi syarikat pula ia memperuntukkan denda tidak melebihi RM2 juta, jika sabit kesalahan," katanya.

Katanya, peniaga yang menjual atau menggunakan barang kawalan berjadual perlu memastikan mempunyai lesen atau permit kebenaran yang dikeluarkan oleh KPDNHEP.

"Selain itu, mereka perlu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas daripada pihak kementerian. Peniaga harus lebih peka perundangan melibatkan milikan barang kawalan berjadual bagi tujuan perdagangan yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.