Tiada tindakan dikenakan terhadap pemimpin sebabkan rasuah berleluasa

Md Alimuddin Rahim
Md Alimuddin Rahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin ataupun orang atasan merupakan satu contoh yang diikuti oleh pekerja mahupun orang bawahannya.

Setiausaha Agung dan Pengarah Eksekutif Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Md Alimuddin Rahim berkata, sekiranya pemimpin melakukan gejala rasuah iaitu mengambil dan menerima tanpa dikenakan tindakan, orang bawahan turut terikut perbuatan tersebut. “Kita lihat organisasi kerajaan, benda ini sudah berlaku lama.

Maksudnya banyak pemimpin yang mengambil lebih banyak daripada yang bawah. Apabila mereka melihat tiada tindakan dikenakan, jadi orang yang bawah cuma ambil peluang,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian semasa program Sinar Live #BukanCakapKosong yang bertajuk Integriti Sekadar Di Mulut yang dikendalikan oleh Dinie Asyraf Salim. Menurut Md Alimuddin, pemimpin seharusnya menjadi contoh tauladan yang baik agar diteladani dan disegani oleh pekerja serta orang bawahan mereka.

Dari kiri; Dinie Asyraf Salim dan Md Alimuddin Rahim semasa program Sinar Live #BukanCakapKosong yang bertajuk Integriti Sekadar Di Mulut.
Dari kiri; Dinie Asyraf Salim dan Md Alimuddin Rahim semasa program Sinar Live #BukanCakapKosong yang bertajuk Integriti Sekadar Di Mulut.

Tambahnya, waktu kerja dan waktu rehat perlu digunakan dengan sepenuhnya tanpa mencuri masa dengan melakukan perkara yang lain.

“Pemimpin tunjuk sikap yang baik supaya diteladani oleh orang bawah. Contoh, mereka masuk pejabat jam 10 pagi, tapi patutnya jam 8 pagi. Itu tak bagus. Pemimpin kena datang awal. Baru orang bawah akan segan.

“Seterusnya masa makan. Katakan jam 12 tengah hari sehingga 1 petang. Jangan lebih masa. Kalau lebih, perlu perbaiki,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar langkah peringatan untuk menghindari gejala tersebut perlu sentiasa diingatkan kepada pekerja. Katanya, perkara itu merupakan satu kaedah yang terbaik bagi memastikan pekerja dapat melaksanakan tugasan dengan telus dan amanah.

“Kena ada langkah awal dan berterusan. Mungkin solat Zohor, ada tazkirah. Sewaktu perhimpunan pagi, kena ingatkan selalu. Tetapi jangan terlalu banyak cakap, nanti dia akan buat tak tahu,” katanya.