Selangor sedia beralih ke inovasi digital

Amirudin (tiga dari kanan) bersama Fahmi (dua dari kanan) dan Zuraidah membuat gimik pelancaran SDI Smart Selangor di Dewan Serbaguna Wisma Ehsan, Shah Alam pada Jumaat.
Amirudin (tiga dari kanan) bersama Fahmi (dua dari kanan) dan Zuraidah membuat gimik pelancaran SDI Smart Selangor di Dewan Serbaguna Wisma Ehsan, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor bakal menjadi komponen penting dalam menjayakan inisiatif Pelan MyDigital yang meletakkan sasaran 80 peratus penggunaan perkhidmatan pengkomputeran awan di agensi kerajaan menjelang 2022.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi pelancaran Inisiatif Infrastruktur Digital Pintar (SDI) Smart Selangor pada Jumaat, negeri ini telah bersedia untuk beralih ke inovasi digital dalam memastikan sistem penyampaian lebih cepat kepada orang ramai.

Beliau berkata, inovasi bagi penggunaan sistem itu juga telah dibangunkan dan dilaksana di beberapa agensi di bawah kerajaan negeri.

“Penggunaan aplikasi SDI dalam sektor awam pastinya memberikan kelebihan dan memperkukuhkan lagi usaha kita menuju negeri pintar.

“Saya yakin Selangor kini semakin hampir mencapai hasratnya dalam memberikan perkhidmatan pintar kepada rakyat di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar majlis pelancaran SDI Smart Selangor yang berlangsung di Dewan Serbaguna Wisma Ehsan di sini pada Jumaat.

Hadir sama Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah; Naib Presiden TM Selangor, Zuraidah Mohd Said dan Pengurus Negara NetApp, Azrin Abd Shukur.

Pada Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin turut melancarkan inisiatif MyDigital yang dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, pelancaran SDI Smart Selangor itu juga menunjukkan kesediaan kerajaan negeri dalam mencapai hasrat untuk menjadi negeri pintar di Asia Tenggara menjelang tahun 2025.

Artikel Berkaitan:

“Implementasi negeri pintar memerlukan lapisan digital bagi menjamin operasi yang teratur sama seperti fungsi tubuh manusia.

“Disebabkan itulah lapisan digital ini merupakan fokus utama dalam SDI domain,” katanya.