X

Kindly register in order to view this article
!

Perang maritim Iran dan Israel

Iran mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk bertempur di laut bagi menghadapi serangan dari kapal-kapal tentera laut Israel. - Foto AFP
A
A

KAPAL-KAPAL kargo milik Israel dan Iran menjadi mangsa serangan maritim sejak kebelakangan ini di laut namun baik Tel Aviv mahupun Teheran masih tidak mengaku bertanggunjawab melakukan perbuatan itu.

Serangan misteri itu menyebabkan kapal-kapal tersebut mengalami kerosakan kecil akibat letupan periuk api laut dan misil terutamanya di Laut Merah dan Laut Arab.

Pada Selasa lalu, kapal kargo yang dikendalikan Israel, Hyperion Ray diserang berdekatan dengan Pelabuhan Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan satu bentuk serangan terbaru di perairan Teluk.

Stesen televisyen Channel 12 dilaporkan memetik seorang pegawai Israel menyalahkan Iran kerana melakukan serangan berkenaan yang dibuat menerusi sebuah misil dengan menyebabkan kerosakan kecil.

Bagaimanapun, pemilik kapal kargo itu menjelaskan, tiada kerosakan besar berlaku akibat serangan tersebut.

Pada 25 Februari lalu, sebuah kapal kargo milik Israel iaitu MV Helious Ray yang dalam pelayaran dari Pelabuhan Dammam, Arab Saudi ke Singapura turut diserang dengan periuk api laut sehingga mengakibatkan letupan di kawasan perairan berhampiran Oman.

Bagaimanpun, Teheran menafikan ia menyerang kapal tersebut yang kemudian berlabuh di sebuah pelabuhan di UAE untuk membaiki kerosakan akibat letupan berkenaan ekoran terbentuk beberapa buah lubang kecil pada bahagian depan MV Heliuous Ray.

Kedua-dua kapal berkenaan adalah milik sebuah syarikat perkapalan Israel iaitu Ray Shipping.

Dalam pada itu, sebuah kapal milik Iran, Shahr-e-Kord turut diserang berhampiran Syria sebelum sebuah lagi kapal kontena milik Israel iaitu Lori diserang di Laut Arab manakala kapal MV Saviz Iran juga menjadi sasaran serangan di Laut Merah.

Kapal MV Saviz yang berlabuh di luar pantai Yemen dan Eritrea tetapi digunakan oleh Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran diserang dengan menggunakan periuk api laut pada awal bulan ini.

Dalam kejadian itu, Teheran tidak menuduh Israel melakukan perbuatan tersebut tetapi portal berita New York Times melaporkan seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang identitinya tidak didedahkan menyatakan Tel Aviv memberitahu Washington bahawa pihak rejim Zionis bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Kapal kargo milik Israel iaitu MV Helious Ray yang dalam pelayaran dari Pelabuhan Dammam, Arab Saudi ke Singapura diserang dengan periuk api berlabuh di Pelabuhan Rashid, Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada Februari lalu. - Foto AFP
Kapal kargo milik Israel iaitu MV Helious Ray yang dalam pelayaran dari Pelabuhan Dammam, Arab Saudi ke Singapura diserang dengan periuk api berlabuh di Pelabuhan Rashid, Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada Februari lalu. - Foto AFP

Israel sebelum ini kerap melakukan serangan ke atas sekutu-sekutu Iran termasuk pergerakan Hezbollah di Lubnan, Hamas di Gaza dan para pejuang yang pro-Iran di negara yang sedang bergolak iaitu Syria.

Tel Aviv juga telah melancarkan serangan siber dan melaksanakan misi perisikan apabila pasukan perisikan Israel iaitu Mossad berjaya mencuri sejumlah dokumen rahsia nuklear Iran dari sebuah gudang di Teheran pada Januari 2018.

Menurut seorang pakar nuklear yang identitinya tidak didedahkan kepada portal berita New York Times, ejen-ejen perisik itu mempunyai masa enam jam dan 29 minit untuk mencuri dokumen-dokumen itu.

Dokumen-dokumen yang dicuri itu menunjukkan Iran mahu menghasilkan senjata-senjata nuklear dan ia turut merekodkan perbincangan mengenai tapak ujian bawa tanah senjata tersebut, lapor akhbar berkenaan.

Namun, seorang penyelidik di Institut Dasar Asia Barat Washington, Farzin Nadimi berkata, konflik maritim antara Iran dengan Israel masih lagi berada di peringkat rendah dan kedua-dua pihak pula cuba untuk mengelakkan ketegangan daripada berlaku.

Nadimi memberitahu AFP bahawa kedua-dua pihak mempunyai kemampuan dan pengalaman dalam peperangan di laut.

Namun, kedua-dua pihak cuba mengelakkan berlakunya ketegangan kerana ia mungkin akan menjejaskan laluan perkapalan dan merugikan ekonomi masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, serangan yang dipercayai dilakukan oleh Israel dan Iran itu mungkin akan memuncak dengan kedua-dua pihak mungkin mengggunakan kapal selam, dron dan kapal-kapal yang boleh bergerak dengan laju.

Dalam pada itu, Ketua Program Iran di Institut Israel Untuk Kajian Keselamatan Kebangsaan, Sima Shine menyatakan bahawa perang maritim antara Israel dan Iran hanya diketahui secara terbuka sejak beberapa minggu lalu.

Sebelum ini, katanya kepada AFP, selama dua tahun kedua-dua pihak merahsiakan peperangan maritim antara kedua-dua pihak.

Iran buat pertama kali mengesyaki Israel melancarkan serangan ke atas kapal-kapal tangkinya di Laut Merah pada tahun 2019 apabila Tel Aviv cuba untuk menghalang musuhnya itu daripada menghantar bekalan minyak kepada sekutu-sekutunya. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!