Biarlah Khairul Hafiz, Haiqal kembali dibimbing Cikgu Poad

Khairul Hafiz (kanan) yang mewakili Melaka beraksi pada acara 400 meter lelaki pada Kejohanan GP Malaysia di Mini Stadium MSN, Bukit Jalil baru-baru ini. -Foto Bernama
Khairul Hafiz (kanan) yang mewakili Melaka beraksi pada acara 400 meter lelaki pada Kejohanan GP Malaysia di Mini Stadium MSN, Bukit Jalil baru-baru ini. -Foto Bernama
A
A
A

KHAIRUL Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi perlu diberikan peluang untuk kembali bersama bekas jurulatih Mohd Poad Md Kassim dalam usaha mengembalikan semula prestasi terbaik kedua-dua pelari pecut negara tersebut.

Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berkata, pada masa ini prestasi kedua-dua atlet pecut tersebut berada pada satu tahap yang memerlukan sokongan semua pihak.

Menurut Nazmizan, dengan prestasi kebanyakan atlet negara tidak terkecuali Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal yang terjejas berikutan pandemik Covid-19, ruang perlu diberikan kepada kedua-duanya.

“Pada saya kedua-dua pelari yang pernah menghadiahkan kilauan emas pada temasya Sukan SEA lalu pada masa ini memerlukan suntikan semangat baharu untuk kembali menyerlah.

“Saya memahami hasrat Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal kerana sebagai bekas pelari yang pernah berada dalam situasi kedua-duanya sebelum ini. Kedua-duanya ingin kembali mendapatkan sentuhan daripada guru lama mereka dalam mengembalikan semula prestasi masing-masing dan seharusnya kita memberikan dorongan serta sokongan kerana mereka masih mampu memberikan kejayaan kepada skuad olahraga negara

“Ya, kita semua termasuk Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) mahukan kedua-duanya menjadi lebih baik dengan mendapatkan latihan terbaik dibawah kendalian Dwayne Miller.

“Tapi hakikatnya bagi Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal pilihan terbaik untuk mereka berdua kembali menjadi yang terbaik serta berdaya berdaya saing adalah kembali semula bersama Cikgu Poad,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pemegang rekod 100 meter kebangsaan, Khairul Hafiz dan Raja Pecut Asia Tenggara, Muhammad Haiqal sebelum ini menyatakan hasrat untuk kembali bersama Mohd Poad.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Nazmizan yang juga Timbalan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyarankan supaya atlet negeri yang terpilih untuk menjalani latihan dalam program kebangsaan dikekalkan berlatih bersama jurulatih asal di negeri masing-masing.

Jelas Nazmizan, ini secara tidak langsung sebagai pendekatan terbaik dalam mengekalkan prestasi atlet tersebut untuk tempoh jangka panjang selepas terbentuknya aspek keserasian dalam kalangan atlet dan jurulatih.

“Ya, saya akui segala kemudahan latihan di Bukit Jalil semuanya lengkap dan canggih tapi itu bukanlah sesuatu yang 100 peratus dapat menjaminkan kecemerlangan seseorang atlet.

“Sebaik-baiknya biarlah seseorang atlet itu berkembang dengan cara natural tanpa paksaan kerana apabila seseorang itu dipaksa secara tidak langsung akan mengganggu emosi seterusnya menjejaskan prestasi mereka.

“Atlet yang dimasukkan dalam program kebangsaan ini sebenarnya boleh sahaja dipantau oleh KOM secara berkala menerusi laporan daripada jurulatih atlet berkenaan tambahan pula dengan kemajuan teknologi maklumat perkara ini bukan satu lagi masalah,” katanya.