X

Kindly register in order to view this article
!

LZS sumbang RM255,000 bantu hospital, pusat jagaan warga emas

Kiri depan: Dr Tengku Intan Norleen, Dr Sha’ari, Dr Tunku Muzafar Shah dan Abdul Basith bersama wakil-wakil hospital yang menerima sumbangan zakat daripada LZS.
A
A

GOMBAK - [DIKEMASKINI] Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM255,000 kepada enam buah hospital dan lima pusat jagaan warga emas bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti dalam situasi pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid berkata, hospital yang menerima sumbangan sebanyak RM10,000 setiap satu ialah Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Hospital Shah Alam, Hospital Serdang, dan Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, sumbangan tersebut dibuat bagi tujuan pelaksanaan aktiviti seperti latihan ibadah kepada pesakit, waris dan jururawat hospital, sesi kaunseling kepada pesakit serta aktiviti keagamaan di bawah program Hospital Mesra Ibadah.

“Bermulanya penglibatan LZS dalam Hospital Mesra Ibadah adalah sejak penubuhan Unit Hal Ehwal Islam Hospital yang diurus oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan memilih HTAR sebagai perintis program tersebut pda tahun 2005.

“Sumbangan ini turut digunakan untuk pembelian kit solat bagi memudahkan pesakit menunaikan solat di atas katil,” katanya ketika merasmikan Majlis Serahan Dana Hospital Mesra Ibadah dan Pelancaran Bakul Qaseh Ramadan LZS di Hospital Selayang, di sini pada Jumaat.

Dr Tunku Muzafar Shah (tiga dari kiri) bersama Abdul Basith memegang mock-up cek serahan wang zakat kepada wakil pusat jagaan warga emas.
Dr Tunku Muzafar Shah (tiga dari kiri) bersama Abdul Basith memegang mock-up cek serahan wang zakat kepada wakil pusat jagaan warga emas.

Sementara itu, Abdul Basith berkata, sebanyak tiga pusat jagaan warga emas menerima sumbangan zakat berbentuk geran sebanyak RM50,000 setiap satu ialah Pusat Jagaan Al-Fikrah, Pusat Jagaan Siti Noraini dan Pusat Jagaan Mahmudah.

Ujarnya, Pusat Jagaan Nurhasanah menerima sumbangan zakat sebanyak RM25,000 dan Pusat Kebajikan Penyayang Hani menerima sebanyak RM20,000.

Dalam perkembangan lain, Abdul Basith berkata, LZS turut melancarikan Program Bakul Qaseh Ramadan untuk menyantuni kakitangan hospital, pesakit dan waris dengan mengagihkan juadah berbuka puasa kepada mereka.

Abdul Basith berkata, sebanyak 1,000 pek makanan akan diedarkan kepada mereka di tiga buah hospital terpilih pada Ramadan ini iaitu Hospital Selayang, Hospital Serdang, dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Program ini dianjurkan bagi memudahkan kakitangan dan waris pesakit tidak perlu keluar untuk mencari juadah berbuka puasa.

“Pek-pek makanan yang bernilai RM10 setiap satu ini akan diagihkan pada hari-hari terpilih yang akan diaturkan oleh hospital-hospital tersebut,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, Timbalan Pengarah (Perubatan) 1 Hospital Selayang, Dr Tengku Intan Norleen Tengku Sharif dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perubatan LZS, Datuk Dr Tunku Muzafar Shah Tunku Jaafar.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!