X

Kindly register in order to view this article
!

Lions perlu lebih garang berdepan Rhinos

Barisan pemain The Lions dituntut lebih garang apabila berdepan The Rhinos di Likas pada Sabtu.
A
A

KETUA Jurulatih UiTM FC, Reduan Abdullah menyifatkan kelemahan individu antara punca yang memberi kesan kepada prestasi The Lions dan perlu diperbaiki segera untuk mendapat keputusan lebih baik dalam aksi bertemu Sabah FC, Sabtu ini.

Jelasnya, selepas melakukan persiapan kedua bersama pasukan sejurus berakhir aksi menentang Melaka United FC tempoh hari, banyak perubahan yang dibuat khususnya daripada aspek taktikal dan corak permainan bagi memastikan pasukan tidak melakukan kesilapan sama bertemu The Rhinos untuk aksi kelapan Liga Super.

Apa yang pasti, beliau memuji kesungguhan barisan pemain yang bersungguh-sungguh untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu yang diterapkan dalam usaha memperbaiki kelemahan masing-masing meskipun moral mereka ketika ini terkesan dengan mengalami tujuh kekalahan.

Menidakkan tugas baharunya ini sebagai satu tekanan, Reduan menganggap ia satu tanggungjawab mencabar yang perlu dipikul selepas menggantikan Frank Bernhardt selaku pengendali dan percaya keputusan positif akan dapat dicapai dalam masa terdekat.

“Saya tidak rasa ia tekanan, tetapi hanya tugas mencabar yang perlu saya lakukan demi pasukan dan saya akan pikul dengan baik demi mereka.

“Banyak perkara yang sudah kita lihat, dan daripada aspek serangan dan kelemahan dalam diri individu pemain itu menjejaskan sedikit sebanyak prestasi pasukan dan secara taktikalnya, mereka faham dengan pendekatan baharu yang kita buat sekarang ini.

“Untuk masa terdekat ini, kita memang perlu ada strategi terbaik untuk mengatasi pasukan lawan dan sudah tentu tiga mata akan menjadi buruan kita menentang Sabah, Sabtu ini”, jelasnya.

Dalam pada itu, pertahanan UiTM FC, Faizal Mohd Arif pula senada dengan penilaian jurulatihnya yang menyifatkan aspek serangan masih lagi belum berada di tahap optimum dan mereka hanya lebih banyak bertahan bagi memastikan gawang tidak dibolosi.

Jelasnya, adalah sukar untuk mereka meraih keputusan baik jika hanya lebih banyak bertahan.

“Saya setuju dengan apa yang diperkatakan jurulatih apabila kita masih lagi tumpul di bahagian serangan dan saya sebagai pemain pertahanan, saya boleh katakan kami tidak mampu untuk bertahan sahaja selama 90 minit.

“Jadi, kita perlukan seseorang yang mampu menjaringkan gol dan saya percaya perkara itu sudah dinilai sepenuhnya oleh jurulatih untuk barisan pemain melakukan perubahan lebih baik dalam aksi akan datang bertemu Sabah.

“Kesimpulannya, saya percaya dengan kemampuan jurulatih Reduan dan saya tengok pemain lain juga memberi sepenuh komitmen kepada beliau untuk ubah prestasi pasukan”, katanya.

The Lions kini berada di tangga tercorot liga selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan setakat ini.

Selain perlawanan antara Sabah FC dan UiTM FC pada Sabtu, satu lagi aksi menyaksikan Perak FC akan berdepan Kedah Darul Aman FC di Stadium Perak.

Baki dua lagi aksi akan berlangsung pada Ahad di mana Selangor FC akan bertandang ke Stadium Hang Jebat menentang Melaka United FC dan PJ City FC pula akan menentang Penang FC.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!