X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada sekatan pergerakan, perintah berkurung di Thailand

Thailand tidak akan mengenakan sekatan pergerakan atau perintah berkurung seluruh negara meskipun jumlah kes baharu Covid-19 sekali lagi mencatat rekod tertinggi pada Jumaat. - Foto 123RF
A
A

BANGKOK - Thailand tidak akan mengenakan sekatan pergerakan atau perintah berkurung seluruh negara meskipun jumlah kes baharu Covid-19 sekali lagi mencatat rekod tertinggi pada Jumaat.

Dalam 24 jam lalu, Thailand mencatat 1,582 kes baharu menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 39,038 dengan jumlah kematian kekal 97.

Bagi mengelak kes terus merebak institusi pendidikan dan pusat hiburan akan ditutup selain melarang penjualan alkohol di restoran sekurang-kurangnya dua minggu bermula Ahad.

Selain itu, sebarang aktiviti melebihi 50 orang adalah dilarang.

Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) pada Jumaat meluluskan langkah pencegahan terbaharu itu.

Sementara itu, jurucakap CCSA, Thaweesilp Wissanuyothin berkata, kerajaan mengisytiharkan 18 wilayah termasuk Bangkok, Chiang Mai, Chonburi, Songkhla, Rayong dan Khon Kaen sebagai zon merah manakala 59 wilayah lagi sebagai zon oren.

Di zon merah, semua pusat beli-belah dan pusat kecergasan wajib ditutup pada 9 malam dan kedai, pasar, pasar raya pula pada 11 ​​malam.

"Restoran di zon merah hanya boleh dibuka hingga 9 malam manakala untuk perkhidmatan bawa pulang hingga 11 malam. Di 59 zon oren, restoran dibenar dibuka hingga 11 malam,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Thaweesilp menggesa orang ramai untuk menghadkan pergerakan mereka dan bekerja dari rumah.

Kes penularan terkini itu adalah yang terbesar sejak Januari tahun lalu. Thailand dilanda gelombang kedua pada pertengahan Disember tahun lalu bermula di pasar makanan laut di Samut Sakhon. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!