X

Kindly register in order to view this article
!

Suami terjun laut demi selamatkan isteri

Pasangan suami isteri itu dibawa ke Jeti Batu Uban untuk tindakan selanjutnya.
A
A

GEORGETOWN - Seorang suami sanggup memperjudikan nyawanya dengan terjun ke laut demi untuk menyelamatkan isterinya yang terjatuh di Kilometer 1.0 Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian pada petang Jumaat.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Mohd Aziziul Alim berkata, kejadian itu berlaku ketika waktu puncak dari arah pulau menghala ke kawasan seberang.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.40 petang lalu bergegas ke lokasi kejadian.

"Ketika kita tiba di lokasi, didapati suami kepada wanita berusia 45 tahun telah terjun ke laut untuk menyelamatkan isterinya. Selain itu, seorang kanak-kanak dipercayai anak kepada pasangan suami isteri tersebut turut berada di situ.

"Wanita tersebut berjaya diselamatkan suaminya yang bertindak menariknya ke tiang 107 jambatan sementara menunggu pasukan bomba untuk bantuan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Jelasnya, anggota bomba yang tiba di lokasi telah turun ke bawah jambatan menggunakan teknik 'rappelling' untuk mengangkat pasangan tersebut ke atas.

Anggota bomba turun ke laut menggunakan teknik 'rappelling' untuk menyelamatkan mangsa.
Anggota bomba turun ke laut menggunakan teknik 'rappelling' untuk menyelamatkan mangsa.

"Kita juga bertindak menenteramkan kedua-dua mangsa yang berada dalam keadaan terkejut. Kedua-duanya dibawa ke Jeti Batu Uban menggunakan bot nelayan sambil diiringi anggota Pasukan Polis Marin.

"Kedua-duanya kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Difahamkan, ketika kejadian, kanak-kanak lelaki tersebut memberanikan diri menahan kereta yang lalu di Jambatan Pulau Pinang untuk meminta bantuan setelah bapanya bertindak terjun ke laut untuk menyelamatkan ibunya.

Dipercayai, tiga beranak itu menaiki sebuah motosikal sebelum suami mangsa berhenti di lokasi kejadian, bagaimanapun punca kejadian belum diketahui.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!