Kadar dividen KWSP di luar jangkaan, kata Guan Eng

Lim Guan Eng
A
A

SEBERANG JAYA - Pengumuman kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2018 disifatkan sebagai di luar jangkaan berikutan keadaan ekonomi global yang lembap masa ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengumuman itu juga menandakan kedudukan ekonomi negara semakin pulih dan berada pada tahap memberangsangkan.

Menurutnya, banyak pihak termasuk pakar ekonomi meramalkan kadar dividen KWSP bagi tahun lalu tidak akan melebihi lima peratus kerana keadaan ekonomi tidak begitu stabil.

"Kadar KWSP bagi 2018 adalah yang terbaik kerana pada masa keadaan ekonomi global lembap berikutan konflik perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, KWSP mampu memberi dividen sebanyak 6.15 peratus.

"Ramai yang ramal, dividen ini tidak akan lebih daripada lima peratus kerana ekonomi mencabar dan tidak menentu," katanya kepada media sebentar tadi ketika menghadiri Jamuan Sambutan Tahun Baru Cina Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang di sini.

Beliau berkata, perkembangan ini, dirasakan amat baik kerana melebihi jangkaan semua pihak biarpun ada yang menjangka, ia tidak mungkin enam peratus kerana dikatakan susah untuk mencapai angka lima.

"Dengan keadaan ekonomi global yang tidak baik, Malaysia dianggap antara negara yang mempunyai prestasi terbaik.

"Selain Malaysia, Thailand dan Singapura juga turut terkena tempias dengan keadaan ekonomi dunia ini, namun, kita perlu berhati-hati memastikan pembangunan mampan ini dapat diteruskan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: KWSP umum dividen, 5.9 peratus untuk Simpanan Syariah

Semalam, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional 2018, dengan agihan dividen sebanyak RM43.00 bilion; dan 5.90 peratus untuk Simpanan Syariah, dengan agihan dividen RM4.32 bilion.

Jumlah keseluruhan agihan dividen adalah sebanyak RM47.31 bilion, turun 1.70 peratus berbanding pada 2017.

Dalam pada itu, Guan Eng ketika dminta mengulas mengenai kenyataan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengkritik mengenai pengumuman dividen itu, Guan Eng berkata, ia dibuat oleh golongan profesional yang sama ketika di bawah pemerintahan Najib.

"Pengiraan kadar dividen itu dibuat oleh golongan profesional yang mana mereka ini dikekalkan sejak pemerintahan Najib lagi kerana integriti dan kredibiliti mereka.

"Oleh itu, mengapa perlu dia (Najib) kritik apabila pengumuman kadar dividen ini dibuat? Tapi dari penulisannya itu, beliau bersetuju dengan pengumuman itu malah tak terduga KWSP mampu memberi kadar dividen lebih dari lima peratus. Terima kasih Najib kerana telah mengakui pengumuman dividen ini sebagai baik," katanya.

Guan Eng turut menyindir Najib agar jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP kerana mengkritik profesionalisme pegawai atasan KWSP termasuk CEO baharunya, Tunku Alizakri Alias berhubung perkara tersebut.

"Saya rasa lebih baik dia mohon untuk jadi CEO KWSP yang baru, Mengapa nak serang profesionalisme CEO KWSP yang ada sekarang ini? Jika nak hentam pun, jangan buat sembarangan saja.

"saya juga lihat semua adalah profesional, sebagai contoh CEO dahulu, Datuk Shahril Ridza Ridzuan adalah CEO pada zaman dia (Najib), kemudian Tunku Alizakri Alias dilantik menjadi CEO baharu, mereka ini dari zaman dia dan barisan yang sangat berwibawa," katanya.

Terdahulu, Najib dalam Facebooknya mengkritik pengumuman itu dengan berkata, KWSP tidak mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuiti tersenarainya pada tahun 2018 berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini.