Dua lelaki ditahan, polis rampas pelbagai dadah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM188,524 dalam serbuan di sekitar ibu negara, Selasa lepas.

Kedua-dua suspek yang berusia 33 dan 25 tahun itu ditahan di dua lokasi berbeza iaitu di sebuah residensi di Jalan Klang Lama dan kondominium di Jalan Desa Pandan pada kira-kira 12 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, polis menjumpai dadah disyaki ketamin seberat 305.9 gram, serbuk MDMA seberat 2,248 gram, cecair MDMA seberat 4,920 mililiter, 170 biji pil ecstasy, 1,200 biji pil Erimin 5 dan wang tunai berjumlah RM1,083.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di pusat hiburan sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif ketamin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu mengenai kes dua pengawal peribadi didakwa dipukul kerana berpuasa, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kertas siasatan kes itu telah dilengkapkan.

“Kami (polis) akan mencadangkan suspek dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat. - Bernama

Artikel Berkaitan: